Tuesday, May 17, 2011

Bukan pilihan juara ramai pihak pada awal musim, namun United masih juara liga perdana Inggeris sekali lagi...bagaimana United melakukannya?



     Manchester United sekali lagi bergelar juara liga musim ini. Kali ini kita akan mengimbas perjalanan United sepanjang musim, bagaimana mereka melakukannya dan menjadi raja bolasepak di England sekali lagi.


DAHAGAKAN KEJAYAAN

     Pasukan United berjaya mengekalkan semangat dahagakan kemenangan dari musim ke musim. Pemain bersilih ganti tetapi semangat tetap sama. Mungkin selepas kejayaan treble 1999 di mana United berada di puncak ramai pihak beranggapan obsesi United dengan kejayaan dan trofi akan pudar. Sebaliknya United kekal di puncak dengan gelaran juara tiga musim berturut-turut pada akhir 2001 dan diulangi sekali lagi pada akhir 2009.
     Kini United berjaya memintas rekod Liverpool dengan 19 gelaran liga dan melakar sejarah tersendiri. Adakah itu akan menjadi faktor untuk United memperlahankan rentak musim depan?. Apa pendapat anda?. Sudah pasti United dahagakan lebih banyak kejayaan dengan gelaran ke 20 pastinya menjadi inspirasi.

SEMANGAT TIDAK KENAL ERTI KEKALAHAN

     Mungkin ramai beranggapan United menyerlah di bawah kendalian Alex Ferguson. United amat sinonim dengan gol-gol lewat perlawanan. Ini termasuklah dua gol lewat Steve Bruce dalam masa tambahan ketika menentang Sheffield Wednesday tahun 1993 untuk bergelar juara liga musim 1992/93, larian solo Ryan Giggs menewaskan lima pemain Arsenal sebelum menjaringkan gol terbaik di separuh akhir piala FA tahun 1999 dan sudah pastinya gol Ole Solskjaer ketika menentang Bayern Munich di perlawanan akhir Champions League tahun yang sama.
    
Musim ini tiada bezanya, sekali lagi United mempamerkan keazaman, kecekalan dan semangat juang berpasukan. Beberapa contoh jaringan lewat Hernandez ketika menentang Stoke City dan jaringan Park Ji Sung menewaskan Wolves di mana dalam kedua-dua perlawanan ini United beraksi hambar. Terbaru di Old Trafford sendiri di mana gol Berbatov menentang Bolton dan Hernandez sekali lagi ketika bertemu Everton boleh dijadikan contoh.



     Begitu juga dengan kebangkitan menakjubkan di Aston Villa, Blackpool dan West Ham. Dengan ketiga-tiga perlawanan United ketinggalan 2-0 namun bangkit untuk seri 2-2 dengan Villa, menang 3-2 dengan Blackpool dan mengalahkan West Ham 4-2.

LAWAN UNITED TIDAK BERAKSI DENGAN BAIK

     Selain Chelsea tiada pasukan lain tampak dapat memberikan cabaran untuk tempat pertama liga. Chelsea bermula hebat di awal musim menjelang akhir November selepas kekalahan 2-0 dengan Liverpool prestasi mereka mula merudum hinggalah kebangkitan semula penghujung Februari. Aksi tidak menentu terutama perlawanan besar - terbaru di Old Trafford - walaupun diperkuatkan dengan Fernando Torres dan David Luiz pertengahan musim tidak berjaya memberikan Chelsea luar biasa sebagaimana diharapkan.



    Arsenal pula punya masalah sendiri. Walaupun memiliki rekod terbaik di tempat lawan musim ini namun di Emirates mereka seringkali kecewa antaranya kekalahan mengejut dengan West Brom, Newcastle dan Tottenham. Tidak lupa keputusan seri bertemu Sunderland dan Blackburn.
    
     Manchester City dan Liverpool juga masing-masing berhadapan masalah pertengahan musim. Prestasi tidak menentu turun naik, dengan Liverpool yang bertukar pengurus ketika musim sedang berlangsung. City pula dengan pemain-pemain baru yang dibeli kemudian diserap ke dalam pasukan pastinya menjadi faktor penyumbang kurangnya keserasian dan kesefahaman pasukan.

GABUNGAN PEMAIN LAMA DAN BARU

     Faktor lain adalah gabungan pemain pengalaman seperti Giggs, Scholes, Ferdinand, Vidic dengan pemain baru seperti Hernandez, Smalling dan Valencia. Vidic sekali lagi bertindak sebagai kubu kukuh di bahagian pertahanan, Giggs menggunakan pengalaman 20 tahun beliau mengemudi bahagian tengah dan Nani seolah-olah dilahirkan semula dengan peningkatan prestasi beliau musim ini.

     Paling jelas adalah Hernandez, ketangkasan dan kehebatan beliau terutama di hadapan gol nyata pemangkin terbesar kepada kejayaan pasukan United. Tidak lupa juga Smalling dan Valencia yang secara tidak langsung membantu keseimbangan pasukan United.
    
     Pemain-pemain lain seperti Berbatov, Rooney, Park Ji Sung, Scholes, Carrick dan Anderson turut menyumbang kepada kehebatan United sepanjang musim. Paling menyerlah ialah Wayne Rooney, walaupun mencetuskan kontroversi pada awal musim namun bangkit semula dengan antaranya dengan menjaringkan gol hebat ketika menentang Manchester City.

UNITED MEMILIKI PENGURUS YANG TERBAIK


     Alex Ferguson sudah 25 tahun mengemudi United dan tahu dan melalui segala-galanya dengan United. Enam tahun lalu pada 2005 ada pihak menggesa Ferguson berundur setelah United terkeluar dari persaingan Champions League di peringkat kumpulan. Namun beliau mengenepikan kritikan dan bangkit dengan empat lagi kejuaraan dan satu piala Champions League. Kini beliau sekali lagi berpeluang menambahnya pada 28 Mei nanti di Wembley, tempat yang sama United memenanginya 43 tahun lalu.
     Pasukan United adalah gambaran personaliti pengurusnya: kecekalan, keazaman yang tiada penghujung dan tidak kenal erti kekalahan. Dengan ramai pihak mengenepikan United sebagai pilihan juara pada awal musim sebagaimana musim-musim sebelumnya, beliau merasakan tiada tekanan kepada pasukannya sekaligus memudahkan United untuk beraksi dengan lebih cemerlang.
     Dengan suku abad berlalu beliau masih tagihkan lebih kejayaan dan trofi. Ferguson adalah pengurus malahan individu terbaik dan luar biasa dalam bolasepak England dan dunia keseluruhannya. Ya, beliau memang yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...