Tuesday, May 24, 2011

Lagenda - Edwin Van der Sar menutup tirai karier bolasepak di kemuncak.

     Edwin Van der Sar dilahirkan di Voorhout, Belanda pada 29 Oktober 1970 dan merupakan pemain yang paling banyak mewakili negaranya dengan 130 caps. Beliau memulakan karier bolasepaknya dengan Ajax Amsterdam di bawah kendalian Louis van Gaal. Bermain selama sembilan musim dari tahun 1990 hingga 1999 dengan 226 kemunculan dan memenangi beberapa kejuaraan termasuk Champions League 1995 dengan menewaskan AC Milan 1-0. Pada tahun berikutnya sekali lagi Ajax melangkah ke perlawanan akhir dengan Van der Sar sebagai penjaga gol utama namun tewas setelah penentuan penalti yang memihak kepada Juventus.


    
Dengan status antara penjaga gol terbaik Eropah pada masa itu Van der Sar berhijrah ke kelab gergasi Itali, Juventus dengan yuran perpindahan £5 juta pada tahun 1999. Perlawanan pertama beliau adalah perlawanan menentang Reggina yang berkesudahan 1-1 dan menjadi penjaga gol bukan dari Itali pertama kelab dari Turin itu. Beliau merupakan penjaga gol utama untuk dua musim pertamanya di Itali dengan 66 kemunculan di bawah kendalian Carlo Ancelotti.

     Walaupun beraksi dengan baik sepanjang bersama Juventus, Van der Sar kehilangan posisinya pada musim panas 2001 apabila Juventus memecahkan rekod perpindahan untuk penjaga gol sebanyak £32.6 juta dengan membeli Gianluigi Buffon dari Parma. Selepas dua musim dan enggan kekal di Juventus sebagai penjaga gol kedua beliau berpindah ke Fulham tahun yang sama.
    
Dengan yuran perpindahan £7 juta beliau menyertai Fulham pada 1 Ogos 2001 dan beraksi buat kali pertama pada perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford namun tewas 2-3. Dengan 127 kemunculan untuk empat musim dari 2001 hingga 2005, beliau kemudiannya menandatangani kontrak bersama Manchester United pada 10 Jun 2005 dengan yuran dilaporkan £2 juta.
    
     Pada musim pertama bersama United Van der Sar berjaya memenangi Piala Carling dengan menewaskan Wigan 4-0. Musim berikutnya prestasi beliau meningkat dan United berjaya menjadi juara liga selepas empat tahun dan yang pertama baginya. Musim 2007/2008 lebih mengagumkan dengan United mengekalkan gelaran liga di samping menambah koleksi dengan menewaskan Chelsea di perlawanan akhir Champions League.













     Beliau menjadi hero United dan digelar 'Van der Save' apabila menyelamatkan sepakan penalti Anelka untuk medal liga elit Eropah keduanya dan ketiga buat United. Pada hujung musim tersebut beliau melanjutkan kontrak selama dua tahun hingga musim 2009/10.


Musim 2008/09 Van der Sar mencipta rekod baru tanpa bolos selama 1311 minit yang menjadi faktor utama United merangkul gelaran liga kali ketiga berturut-turut mengatasi pencabar terdekat Liverpool. Namun beliau gagal mendapatkan kejuaraan Eropah ketiganya apabila United tewas 2-0 kepada Barcelona. Musim seterusnya menyaksikan United hanya mampu berada ditempat kedua di belakang Chelsea. Episod kecederaan dan penyakit haemorrhage otak yang dialami isterinya menghadkan penampilan beliau sepanjang musim.
    
      Untuk musim 2010/11 Van der Sar melanjutkan kontrak selama setahun lagi namun pada masa yang sama mengumumkan akan bersara pada hujung musim. Dengan United merangkul gelaran liga untuk rekod kali ke 19 mengatasi rekod 20 tahun Liverpool dengan 18, Van der Sar sekali lagi menjadi tulang belakang kejayaan ini. Ahad lalu beliau bermain buat kali terakhir di hadapan penyokong di Old Trafford dan turut menjadi kapten dalam perlawanan itu. Dengan satu lagi perlawanan untuk menambah koleksi trofi bersama United (28 Mei menentang Barcelona) Van der Sar sebak semasa memberi ucapan penghargaan di hadapan 76 ribu penyokong United yang padanya adalah kelab terbesar dan terhebat dunia.


Pencapaian bersama kelab

Ajax
  • Eredivise (4) 1993/94, 1994/95, 1995/96, 1997/98
  • Piala KNVB (3) 1992/93, 1997/98, 1998/99
  • Johan Cruijff Shield (3) 1993, 1994, 1995
  • Champions League (1) 1995
  • Piala UEFA  (1) 1992
  • UEFA Super Cup (1) 1995
  • Piala Intercontinental (1) 1995
Juventus
  • UEFA Intertoto (1) 1999
Fulham
  • UEFA Intertoto (1) 2002
Manchester United
  • Liga Perdana (4) 2006/07, 2007/08, 2008/09, 2010/11
  • Perisai Komuniti (3) 2007, 2008, 2010
  • Piala Carling (1) 2006
  • Champions League (1) 2008
  • FIFA Club World Cup (1) 2008
Peringkat Antarabangsa
  • Suku akhir Euro 1996
  • Separuh akhir Piala Dunia 1998
  • Separuh akhir Euro 2000
  • Separuh akhir Euro 2004
  • Pusingan 16 pasukan Piala Dunia 2006
  • Suku akhir Euro 2008

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...