Friday, June 3, 2011

Imbasan dan rumusan musim 2010/11.

United juara liga 2010/11
     Musim 2010/11 merupakan antara musim yang paling sukar diramal buat Manchester United. Kehebatan Barcelona terutama di bahagian tengah sudah dijangka dan tidak menghairankan setelah United gagal menambah pemain berkualiti di bahagian tersebut musim panas lalu.

     Sesungguhnya dengan merangkul gelaran liga dan berjaya mara ke akhir Champions League boleh dianggap kejayaan luar biasa Alex Ferguson. Kerap kali beliau menyangkal dakwaan bahawa pasukan United mengalami tempoh suram selepas Ronaldo dan Tevez meninggalkan Old Trafford pada 2009, ditambah dengan kecederaan pemain utama dan prestasi tidak menentu pemain senior.


     Namun kemampuan dan kebolehan jurulatih berasal dari Scotland itu untuk mengoptimakan segala sumber terhad yang ada menyaksikan di penghujung musim United meraikan gelaran liga yang keempat dalam masa lima musim dan lebih manis untuk rekod ke 19 mengatasi rekod 20 tahun Liverpool dengan 18 gelaran liga. Sudah pasti tulang belakang kejayaan ini adalah prestasi di Old Trafford di mana United hanya kehilangan dua mata dari 19 perlawanan.

     Kekebalan di Old Trafford menyaksikan kemenangan ke atas Chelsea, Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Tottenham yang mengukuhkan kehebatan United di peringkat domestik. Selain itu paling diingati ialah perlawanan menentang Blackburn dan Birmingham di mana United membenam kedua-dua pasukan dengan keputusan  7-1 dan 5-0 masing-masing.

     Rekod di tempat lawan pula sebaliknya dengan hanya lima kemenangan, ini termasuk tempoh ketandusan kemenangan pada Ogos hingga lewat Oktober apabila pasukan bimbingan Ferguson menewaskan Stoke City 2-1 di stadium Britannia. Ini merupakan rekod terburuk mana-mana juara liga sejak pertengahan 1970an dan pastinya Ferguson mahu memperbaikinya musim panas ini. Apa yang lebih menyedihkan ialah  Blackpool yang tersingkir dari liga perdana juga memperolehi lima kemenangan di tempat lawan.

     Lebih membimbangkan prestasi yang hambar di tempat lawan di mana pemain-pemain kurang imaginasi dan daya kreatif untuk mencipta peluang terutamanya apabila ketinggalan jaringan. Tiadanya pemain defensive midfielder yang berkualiti seolah-olah menjerat United walaupun punyai semangat juang yang tinggi. Kekalahan di Liverpool, Wolves, Chelsea dan Arsenal sememangnya boleh menjadi faktor penghalang terutama ketika penghujung musim.

     Kelemahan Red Devil bagaimanapun tidak berkaitan langsung dengan kelemahan pasukan lawan yang lain. Dengan Chelsea yang majoritinya dibarisi pemain pada usia 30an dan pembelian pemain-pemain pada tempoh perpindahan bulan Januari seperti Fernando Torres dan David Luiz sedikit sebanyak menjejaskan perancangan awal Carlo Ancelotti. Pengurus dari Itali itu disingkirkan namun kesangsian terhadap pemilik Chelsea Roman Abramovich berkenaan polisi kelab tetap kekal menjadi tanda tanya.

     Permasalahan Arsenal pada bahagian pertahanan, midfield dan penjaga gol adalah natijah dari keengganan Arsene Wenger berbelanja untuk pemain berkualiti sebaliknya kekal dengan polisi pemain-pemain muda berbakat. Walaupun dengan berat beliau mengakui kesilapan besar itu, mungkin agak terlambat dalam usaha mengekalkan pemain-pemain bintang seperti Cesc Fabregas dan Samir Nasri.

     Kegagalan United dalam piala-piala domestik pula menunjukan percubaan Ferguson mengenengahkan pemain-pemain muda kurang berpengalaman tidak berjaya. Tewas 4-0 di tangan West Ham pada Piala Carling langsung tidak menzahirkan pengalaman berharga buat pemain-pemain seperti Gabriel Obertan, Bebe dan Darron Gibson.
  
Wayne Rooney.
     Manakala dalam Piala FA pula, kemenangan dengan musuh tradisi Liverpool di Old Trafford menjanjikan satu lagi pengalaman Wembley menanti penyokong-penyokong. Namun tidak seperti yang diimpikan apabila pihak FA membuat keputusan luar biasa dan pertama kali seumpamanya dengan menggantung Rooney akibat menggunakan bahasa kesat semasa perlawanan liga dengan West Ham.

     Di peringkat Eropah prestasi United melangkaui jangkaan awal, walaupun tewas mudah 3-1 kepada Barcelona. Sebelum tewas di Wembley United memegang rekod tanpa kalah peringkat Eropah dan juga tanpa bolos di tempat lawan. Taktik negatif di tempat lawan nyata formula terbaik buat Ferguson di peringkat Eropah.

     Musim ini juga memberikan cabaran tambahan kepada Ferguson terutama di luar padang. Isu terbesar pastinya keengganan Rooney menyambung kontrak baru setelah merasakan kumpulan pemain yang ada tiada pemain berstatus bintang dan tidak seiring dengan cita-cita bolasepak beliau. Namun pada masa yang sama isu peribadi beliau yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pelacur semasa Piala Dunia 2010 juga memberi impak kepada kelab terutamanya penyokong-penyokong.

     Dengan kebijaksanaan Ferguson berjaya membuatkan Rooney menandatangani perjanjian baru dengan kenaikan gaji melebihi pemain-pemain lain. Prestasi beliau selepas itu meningkat perlahan-lahan (antaranya gol terbaik menentang Manchester City) dan para penyokong sedikit sebanyak melupakan isu tersebut walaupun pada hakikatnya ramai belum dapat memaafkan beliau sepenuhnya.

     Musim ini juga memperlihatkan integrasi permain-pemain baru ke dalam pasukan utama antaranya ialah Javier Hernandez, Chris Smalling dan Fabio. Signifikasi Hernandez sangat luar biasa dengan jaringan 20 gol untuk musim pertamanya di England. Manakala Smalling mempamerkan kelebihan fizikal dan ketenangan mengemudi benteng pertahanan dalam 33 perlawanan pertamanya. Fabio juga memberikan saingan kepada kembarnya Rafael yang sebelum musim ini banyak memanaskan bangku simpanan menyaksikan adik kembarnya beraksi.

     Peningkatan dan kemajuan pasukan memberikan tanda baik untuk masa depan, namun Ferguson harus menilai segala kelemahan untuk diperbaiki sebagaimana yang telah didedahkan dalam perlawanan dengan Barcelona lalu. Persaraan Edwin Van der Sar, Paul Scholes dan Gary Neville, juga khidmat Owen Hargreaves yang ditamatkan menjanjikan musim perpindahan musim panas yang lebih berbeza daripada biasa dan seterusnya menjadi penentu masa depan United.

1 comment:

  1. Rasanya benchmark dalam sukan bolasepak dunia bagi kelab adalah UEFA Champion League. 3 Final dalam last 4 seasons... Man Utd masih hebat dan perkasa! Sedikit tweak oleh SAF nanti dan skuad ini akan lebih hebat dari tahun2 yg sudah :D Glory Glory Man Utd

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...