Sunday, August 21, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Tottenham Hotspur.

     Old Trafford bersedia untuk perlawanan pertama liga musim 2011/12 dengan menanti kunjungan Tottenham - dua pasukan yang sentiasa menyajikan perlawanan hebat setiap kali bertemu dan tidak pernah mengecewakan kedua belah penyokong.

     Pasukan bimbingan Harry Redknapp akan berdepan pasukan Alex Ferguson untuk perlawanan besar pertama dan terpenting musim ini. Pertemuan kedua-dua pasukan sentiasa mempamerkan mutu permainan yang tinggi serta tidak lari daripada kontroversi.

     Rekod dalam sejarah Liga Perdana jelas menunjukkan Tottenham tidak pernah menewaskan United di Old Trafford dengan kali terakhir mereka berbuat demikian adalah pada 16 Disember 1989 dalam perlawanan Liga Divisyen 1 musim 1989/90. United tewas 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang Gary Lineker.

     Dengan pertemuan pertama kedua pasukan yang dijadualkan malam Isnin (awal pagi Selasa) ini, kita lihat top 5 perlawanan klasik antara United dan Tottenham.

1. Tottenham vs Manchester United 3-5, 29 Sep 2001, White Hart Lane.

     Buat semua penyokong United tiada apa yang perlu diperingatkan dan pemain-pemain sendiri tidak akan melupakan peristiwa ini. Walaupun United sentiasa terkenal dengan keupayaan untuk bangkit semula selepas ketinggalan, namun apa yang berlaku adalah di luar jangkaan.

     Pasukan bimbingan Glenn Hoddle mengganas pada separuh masa pertama apabila United ketinggalan tiga gol. Alex Ferguson yang terkenal dengan hair dryer treatment mengeluarkan Denis Irwin dan Nicky Butt dan memasukkan Silvestre dan super sub Ole Gunnar Solsjkaer selepas rehat.

     Rentak permainan berubah dengan United lebih dulu menjaringkan gol seawal minit pertama permainan bersambung hasil tandukan Andy Cole. Kemudian disusuli dengan gol daripada Laurent Blanc dan Rudd Van Nistelrooy untuk mengikat kedudukan. Empat minit berselang selepas gol penyamaan Solskjaer dan Scholes berganding sebelum membuka peluang untuk Veron menjaringkan gol keempat - pertama kali United di depan dalam perlawanan ini. Penyokong United terus bersorak apabila Beckham menambah satu lagi gol tiga minit sebelum masa tamat.



2. Manchester United vs Tottenham 5-2, 25 Apr 2009, Old Trafford.

     United dan Liverpool masing-masing bersaing untuk gelaran liga pada penghujung musim 2008/09. United menanti kunjungan Spurs ke Old Trafford namun pelawat terlebih dahulu didepan hasil rembatan jarak dekat Darren Bent. United seolah-olah terpaku dengan gol pertama dan keadaan menjadi lebih buruk apabila Modric menggandakan gol melalui hantaran Lennon di sebelah kanan sayap.

     Selepas rehat Carlos Tevez dimasukkan menggantikan Nani, namun Gomes kental bertahan di gawang Spurs. Wayne Rooney, Dimitar Berbatov, Carlos Tevez dan Cristiano Ronaldo membentuk gabungan serangan bertubi-tubi kearah gol Tottenham. United akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama dengan sedikit tuah. Rooney melorongkan bola kepada Carrick sebelum Gomes menerpa mendapatkan bola lalu menjatuhkan Carrick dalam kotak penalti. Howard Webb menghadiahkan sepakan penalti walaupun dibantah keras pemain-pemain Spurs. Ronaldo mengambil nafas panjang dan dengan tenang menjaringkan penalti.

     Hanya satu sahaja pemenang selepas itu dan ia bukanlah pasukan yang sedang mendahului tetapi tuan rumah. Rooney menyamakan kedudukan, 20 minit sebelum tamat. Kemudian Ronaldo menanduk masuk gol gol ketiga hasil hantaran cantik Rooney daripada sebelah kiri sayap. Dua lagi gol ditambah oleh Rooney dan Berbatov untuk United mendapat tiga mata berharga dalam laluan gelaran liga ke 18.

3. Mancherter United vs Tottenham 2-1, 16 Mei 1999, Old Trafford.

     Perlawanan terakhir musim dan United perlu menang untuk menghalang Arsenal mempertahankan gelaran liga. Ini adalah langkah pertama atau piala pertama dalam laluan United memenangi kejayaan bersejarah trebel musim ini.

     Spurs sebagaimana yang berlaku kepada United dalam musim ini lebih dulu di depan hasil jaringan Les Ferdinand. Ini memberikan seteru utama Spurs iaitu Arsenal kelebihan dalam muncul juara.

     Para pemain United menyedari magnitud perlawanan ini dan memberi tindak balas yang sempurna apabila rembatan David Beckham daripada luar kotak penalti menerjah sudut kanan gol. United bagaimanapun perlu lebih daripada satu mata dan terus mengatur serangan ke gol lawan.

     Gol kemenangan akhirnya hadir hasil daripada kecemerlangan individu Andy Cole - kawalan baik, visi dan penyudah tepat - melambungkan bola melepasi penjaga gol Spurs. Para penyokong terus bersorak gembira sehingga wisel penamat. Sepuluh hari kemudian United mengecapi kejayaan Trebel dengan menambah trofi Piala FA dan Champions League.



4. Tottenham vs Manchester United 0-4, 04 Feb 2007, White Hart Lane.

       United berada dalam prestasi yang sangat cemerlang ketika bertandang ke White Hart Lane. Tiada gol pendahuluan daripada tuan rumah untuk kali ini apabila United menguasai perlawanan.
    
     Cristiano Ronaldo adalah arkitek kemenangan besar ini dan menyebabkan pertahanan Spurs kucar-kacir. Gol daripada Ronaldo, Scholes, Vidic dan Giggs memberikan United tiga mata berharga dalam laluan menjadi juara liga musim ini.
    
     Dengan kelebihan empat gol, Alex Ferguson menggunakan kesemua tiga pemain gantian. Namun keputusan itu memakan diri apabila Edwin Van Der Sar cedera patah tulang hidung dan United tidak dapat memasukkan mana-mana pemain. John O'Shea yang boleh bermain di mana-mana bahagian pertahanan dan juga midfield menjadi pengganti Van der Sar dan juga sempat menyelamatkan percubaan merbahaya Robbie Keane.


5. Tottenham vs Manchester United 1-3, 12 Sep 2009, White Hart Lane.

     United kehilangan khidmat Ronaldo ke Real Madrid. Terdapat keraguan dikalangan para penyokong United sendiri dan keupayaan Rooney untuk mengetuai bahagian serangan menjadi tumpuan.

     Seperti kebiasaan Spurs mendahului menerusi Jermain Defoe, tetapi United tampak lebih kuat antara dua pasukan dan menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Giggs.

     Anderson menjaringkan gol pertama peribadi beliau buat United selepas berlaku keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Spurs. Tidak lama selepas itu pasukan tuan rumah mendapat kelebihan apabila United beraksi dengan sepuluh pemain setelah Paul Scholes dibuang padang.

     Namun United bertahan, hingga Rooney mendapat idea sebaliknya. Hantaran jauh Fletcher ditampan kemas Rooney yang mempamerkan ketenangan dan kemahiran sebelum menewaskan dua pertahanan Spurs dan menjaringkan gol melepasi jangkauan penjaga gol.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...