Saturday, October 22, 2011

Blast from the Past - Cerita di sebalik 'back-heel' Denis Law menyingkirkan United ke Divisyen Dua.

Denis Law (dua dari kanan) selepas menjaringkan gol.
     24 April 1974, Old Trafford - Apabila Denis Law menjaringkan gol kemenangan minit akhir di Old Trafford untuk Manchester City dalam perlawanan kedua terakhir musim, ia seperti seorang anak yang mematikan mesin sokongan hayat bapanya.

     Law yang ditabal penyokong sebagai King of Old Trafford selepas 236 gol dalam 11 tahun karier dengan United, telah menghancurkan sisa-sisa harapan kelab kesayangannya untuk mengelakan dari tersingkir daripada Divisyen Satu, apabila back-heel spontan beliau daripada hantaran Francis Lee melepasi penjaga gol Alex Stepney. Tujuh tahun sebelumnya beliau dan Stepney bersama-sama meraikan gelaran liga.


     United menerima kunjungan seteru setempat City berada pada posisi 21 liga dengan 32 mata, tiga mata di belakang Birmingham City yang berada di posisi selamat tangga ke 19 (liga dengan 22 pasukan). Pada masa itu setiap kemenangan memperoleh dua mata dan United dengan baki dua perlawanan perlu sekurang-kurangnya seri dengan City dan pada masa yang sama mengharapkan Birmingham tewas untuk mengelak dari tersingkir.

     Dengan perlawanan tinggal kurang 10 minit, kedudukan masih terikat 0-0. Kemudian City menggandakan serangan dan bola menuju ke kotak penalti United, di mana Law secara spontan membuat sepakan back-heel ke arah gol dan menerjah gawang. Rakan sepasukan terus menuju kepada Law untuk meraikan gol tetapi beliau enggan, menyedari beliau telah menentukan nasib bekas pasukannya ke Divisyen Dua. Beliau kemudiannya terus digantikan dengan pemain lain dan tidak lagi bermain selepas itu. Penyokong United menceroboh ke tengah padang dan perlawanan terpaksa dihentikan. Keputusan kekal memihak City 1-0.

     United tersingkir daripada Liga Divisyen Satu hanya selepas enam tahun meraikan kejayaan sebagai Juara Eropah dan terpaksa beraksi dalam Divisyen Dua selepas 36 tahun beraksi dalam liga utama. Walaubagaimana pun Birmingham memenangi perlawanan mereka, maka United tetap tersingkir walaupun berjaya menewaskan City. Kelab lain yang menyertai United tersingkir ke Divisyen Dua adalah Norwich City dan Southampton, dengan sistem tiga mata kemenangan mula diperkenalkan pada musim 1974/75.

Tommy Docherty
     Pengurus United ketika itu Tommy Docherty membenarkan Law menyertai City, yang dikatakan tidak menyukai Law yang digelar King of Old Trafford - melakukannya semata-mata memalukan beliau. Law mendapat tahu mengenai perpindahannya ke City ketika beliau berada di Scotland menziarahi bapanya yang sakit. Walaupun tersingkir lembaga pengarah United mengekalkan Docherty sebagai pengurus pada musim berikutnya.

     Dalam biografinya Law memberitahu beliau melakukan back-heel untuk memberikan peluang buat Stepney menyelamatkan bola tersebut, tetapi kesemua pemain yang berada dalam kotak penalti ketika itu seakan terpaku. Selepas jaringan tersebut ketika rakan sepasukan lain meraikannya beliau terus berjalan meninggalkan padang terus ke terowong bilik persalinan diiringi laungan UNITED daripada Stretford End.

     "Saya tidak dapat dipujuk lagi. Saya tidak mahu ia berlaku. Berapa lama perasaan itu bertahan? Berapa lama perlawanan itu telah berlaku? Tiga puluh tahun lebih. Itu jawapannya," luah Denis Law.

     "Perkara yang sama diulang. Ia hanya salah satu daripada banyak perkara. Ia tetap berulang dan saya tetap diingati kerananya. Itu amat memalukan.

     "Saya bermain dengan mereka (United). Kami sahabat. Saya tidak mahu mereka tersingkir. Ia adalah perkara terakhir yang saya mahukan dalam dunia ini. Ia bukan perasaan yang baik. Kami bukan kawan di atas padang. Boleh sepak antara satu sama lain. Namun apabila wisel dibunyikan, kesemuanya tamat dan berubah.

     Denis Law tidak lagi bermain untuk City dan ia mengambil masa lebih 20 tahun untuk beliau kembali menjejakkan kaki ke Old Trafford.    


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...