Monday, October 24, 2011

Top 5 - Kekalahan besar United di Old Trafford dalam perlawanan liga.

     Selepas kekalahan mengejutkan 1-6 United di laman sendiri dengan seteru setempat City, kita imbas top 5 perlawanan liga yang berkesudahan dengan keputusan kekalahan besar di Old Trafford juga impak di penghujung musim tersebut.

5. Manchester United vs Nottingham Forest 2-6, 27 Nov 1909, Divisyen Satu, Bank Street.

     Musim 1909/10 merupakan musim ke 18 United dalam Football League dan yang ketiga dalam Divisyen Satu. Selepas tewas tiga perlawanan dalam 14 perlawanan pertama liga United menanti kunjungan Forest di Old Trafford. United dengan rekod tanpa kalah di tempat sendiri musim itu dan seri 1-1 dengan penyandang juara liga Newcastle sebelumnya yakin mampu meneruskan rekod cemerlang di Old Trafford.

     Namun ia berlaku sebaliknya dan lebih mengejutkan tewas besar 6-2 kepada pelawat. George Wall, penjaring terbanyak United musim itu dengan 14 gol dan Harold Halse masing-masing menjaringkan satu gol buat United. Pada Februari 1910 United berpindah daripada gelanggang lama Bank Street ke Old Trafford.

Kedudukan akhir musim - tempat ke-5.


4. Manchester United vs Manchester City 1-6, 23 Jan 1926, Divisyen Satu, Old Trafford.

United tewas kepada Arsenal pada perlawanan sebelumnya

     Setelah tewas buat kali kelapan dalam liga ketika menentang Arsenal di Highbury, United perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya di Old Trafford. Namun itu bukanlah tugas mudah buat United  apabila menerima kunjungan City.    

     Walaupun pada penghujung musim City tersingkir ke Divisyen Dua namun City sempat memberikan football lesson kepada jiran mereka apabila mengalahkan United dengan jaringan 6-1 di Old Trafford.

     Sungguhpun tersingkir, musim ini juga menyaksikan City beraksi cemerlang dalam Piala FA di mana mereka layak ke akhir dengan menewaskan United 3-0 di separuh akhir, namun tewas 1-0 dengan Bolton pada perlawanan akhir.

Kedudukan akhir musim - tempat ke-9.


3. Manchester United vs Aston Villa 0-6, 14 Mac 1914, Divisyen Satu, Old Trafford.

United musim 1913/14

        Pada musim 1913/14 United merekodkan 17 kekalahan dengan tujuh kekalahan adalah di Old Trafford. Sebelum itu pada Januari sebelumnya United telah ditewaskan ditempat lawan oleh Bolton dengan jaringan 6-1.

     Aston Villa yang pada musim sebelumnya menjadi naib juara liga di belakang Sunderland, membenam United 6-0. Villa sekali lagi menjadi naib juara liga musim ini di belakang Blackburn Rovers.

Kedudukan akhir musim - ke-14.


2. Manchester United vs Huddersfield Town 0-6, 10 Sep 1930, Divisyen Satu, Old Trafford.

Alex Jackson
     Pada April musim sebelumnya Huddersfield Town beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA namun tewas 2-0 kepada Arsenal. United yang menanti kunjungan mereka tewas kesemua tiga perlawanan awal musim dan perlawanan dengan Huddersfield Town boleh dikatakan tidak kena masanya apatah lagi selepas dibelasah Chelsea 2-6 di Stamford Brigde empat hari sebelumnya.

     Apa yang paling ditakuti United ternyata menjadi realiti apabila ditewaskan Huddersfield 6-0 dengan Alex Jackson dan Gerry Kelly masing-masing menjaringkan hatrik. Perlawanan berikutnya tiga hari kemudian juga di Old Trafford United sekali menjadi mangsa kali ini giliran Newcastle yang membelasah   7-4. United terus mencatat kekalahan untuk tujuh perlawanan berikutnya hinggalah pada 01 Nov apabila menang 2-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford. Dengan jumlah 27 kekalahan, 115 bolos dan hanya 53 jaringan sepanjang musim, United menduduki tangga tercorot dan tersingkir ke Divisyen Dua.

Kedudukan akhir musim - tempat ke-22.


1. Manchester United vs Newcastle United 1-7, 10 Sep 1927, Divisyen Satu, Old Trafford.

Joe Spence
     Penyandang juara liga musim sebelumnya Newcastle United bertandang ke Old Trafford untuk perlawanan kelima musim 1927/28. United tanpa kalah pada perlawanan sebelum ini dengan dua kemenangan dan dua seri.

     Kelebihan nyata milik Newcastle apabila menewaskan United dengan 7-1 dengan gol saguhati United di jaringkan oleh Joe Spence. Di perlawanan terakhir musim United menewaskan Liverpool 6-1 dan menjadikan tujuh pasukan (Sheffield Wednesday, Sunderland, Liverpool, West Ham United, United, Burnley dan Portsmouth) terikat dengan 39 mata. Perbezaan gol menyaksikan Portsmouth tersingkir ke Divisyen Dua bersama Tottenham dan Middlesbrough.

Kedudukan akhir musim - tempat ke-18.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...