Sunday, October 23, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Manchester City.

     Manchester derby antara United dan City sentiasa menyajikan perlawanan kelas tersendiri, keghairahan prnyokong fanatik dan perjuangan mati-matian setiap pemain. Kita lihat top 5 perlawanan antara seteru setempat ini

5. Manchester United vs Manchester City 5-0, 10 Nov 1994, Liga Perdana, Old Trafford.

     United mengekalkan dominasi ke atas City apabila membelasah pasukan Brian Horton 5-0 di Old Trafford. Terdapat jurang ketara membezakan kedua pasukan dan Andrei Kanchelskis membuktikannya dengan jaringan hatrik dalam perlawanan itu.

     Eric Cantona mempamerkan kelas dan sentuhan berbisa untuk menjaringkan gol sementara Mark Hughes juga tersenarai sebagai penjaring gol dalam musim terakhirnya di Theatre of Dreams.

4. Manchester City vs Manchester United 4-1, 14 Mac 2004, Liga Perdana, Eastlands Stadium. 

     Kehadiran hampir 30,000 penonton di Maine Road pada tahun 1989 ketika City membenam United 5-1 mungkin tidak pernah terfikir bahawa mereka akan menyaksikan sekali lagi hari di mana City menewaskan seteru setempat mereka dengan penuh bergaya.

     United boleh dikatakan berada dalam fasa peralihan antara dua generasi terhebat. Namun City dengan Jon Macken, Trevor Sinclair dan Robbie Fowler - kesemuanya penjaring gol City - bermakna satu lagi keputusan di luar dugaan tercatat dalam rekod.

3.  Manchester City vs Manchester United 2-3, 07 Nov 1993, Liga Perdana, Maine Road.

     United hadir pada perlawanan ini selepas tersingkir daripada saingan Piala Eropah di tangan Galatasaray, di mana Eric Cantona dibuang padang selepas adegan keganasan  atas padang selepas wisel penamat. Penyandang juara liga bertandang ke Maine Road dengan kurang keyakinan dan ini terus dihukum City dengan dua gol tandukan Niall Quinn.

     King Eric mengetuai kebangkitan semula United dengan dua gol sebelum Roy Keane meletakkan kembali City ke tempat sepatutnya dengan gol kemenangan pada minit ke 87.


2. Manchester United vs Manchester City 0-1, 27 Apr 1974, Divisyen Satu, Old Trafford.

     Musim di mana United tersingkir ke Divisyen 2, enam tahun selepas bergelar Juara Eropah. Ironinya ia berlangsung di Old Trafford dan gol kemenangan City dijaringkan oleh bekas hero Stretford End, Denis Law - dengan backheel menewaskan Alex Stepney. Law yang kelihatan begitu pilu dengan apa yang telah berlaku serta merta digantikan dan tidak lagi bermain dalam liga bolasepak selepas itu. Namun beliau mungkin boleh merasa sedikit lega kerana pasukan Birmingham juga menang pada ketika itu dan apa sahaja keputusan di Old Trafford tidak dapat mengelakkan United daripada tersingkir.


1. Manchester United vs Manchester City 4-3, 20 Sep 2009, Liga Perdana, Old Trafford.

     Gol Michael Owen dalam masa tambahan memberikan kemenangan dramatik kepada United dalam perlawanan klasik Manchester derby di Old Trafford. Owen yang masuk menggantikan Berbatov, menerima hantaran Giggs sebelum merembat ke penjuru kiri Shay Given.

     Craig Bellamy dilihat telah memberikan City satu mata berharga dengan gol penyamaan sebelum tamat 90 minit. Sir Alex bersama barisan staff dan pemain dibangku simpanan melonjak keriangan manakala Mark Hughes segera meminta penjelasan masa tambahan yang mencecah enam minit.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...