Saturday, December 31, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Blackburn Rovers.

     Menjelang perlawanan antara Manchester United dan Blackburn Rovers, kita imbas top 5 perlawanan klasik yang melibatkan kedua pasukan.

5. Manchester United vs Blackburn Rovers 2-1, 25 Jan 2006, Separuh Akhir Piala Liga, Old Trafford.

Van Nistelrooy gagal menyempurnakan penalti

     Manchester United menempah tiket perlawanan akhir Piala Liga untuk berdepan Wigan selepas mengatasi Blackburn. Ruud Van Nistelrooy meletakkan United di depan sebelum Steven Reid menyamakan kedudukan selepas kesalahan pertahanan tuan rumah.

     Pemain Blackburn Zurab Khizanishvili dihukum apabila menggunakan tangan namun sepakan penalti Van Nistelrooy diselamatkan Brad Friedel. Pertengkaran antara pemain pada waktu rehat separuh masa mencemari perlawanan sebelum Louis Saha melakukan volley untuk gol kemenangan United.


4. Blackburn Rovers vs Manchester United 0-5, 03 Apr 1965, Liga Divisyen Satu, Ewood Park.

Bobby Charlton
     Setelah tewas dalam perlawanan ulangan separuh akhir Piala FA dengan seteru utama Leeds United tiga hari sebelumnya, United menerima kunjungan Blackburn untuk meneruskan saingan perebutan gelaran liga. Ternyata ia adalah respon sempurna daripada United apabila membelasah Blackburn 5-0 dengan hatrik daripada Bobby Charlton dan masing-masing satu gol Connelly dan Herd.

     Dengan hanya satu kekalahan daripada baki enam perlawanan musim termasuk menewaskan Liverpool dan Arsenal dengan tiga gol, United muncul juara mengatasi Leeds dengan perbezaan gol. Ini adalah gelaran juara pertama dirangkul United selepas Tragedi Munich 1958.


3. Manchester United vs Blackburn Rovers 7-1, 27 Nov 2010, Liga Perdana, Old Trafford.

High Five daripada Berbatov.
     Dimitar Berbatov menjaringkan lima gol ketika Manchester United membelasah Blackburn Rovers 7-1. Berbatov membuka jaringan hasil hantaran Nani sebelum Park Ji-Sung bergabung dengan Wayne Rooney untuk menjadikan kedudukan 2-0. Berbatov kemudiannya mengambil kesempatan daripada kelalaian hantaran ke belakang Pascal Chimbonda untuk gol ketiga sebelum menjaringkan hatrik dengan rembatan dari dalam kotak penalti.

     Nani kemudiannya menjadikan kedudukan 5-0, Berbatov menyudahkan cubaan Park dan kemudian menjaringkan gol daripada sudut sukar sebelum Chris Samba menjaringkan gol saguhati pelawat. Pemain Bulgaria itu menjadi pemain keempat menjaringkan lima gol dalam Liga Perdana selepas bekas penyerang United Andy Cole, penyerang Newcastle Alan Shearer dan Jermain Defoe dari Tottenham.


2. Blackburn Rovers vs Manchester United 4-3, 11 Feb 2006, Liga Perdana, Ewood Park.

David Bentley meraikan hatrik.
     David Bentley melengkapkan hatrik pertamanya dalam liga menentang Manchester United ketika Blackburn bertahan untuk kemenangan hebat dan bersejarah. Bentley memecah kebuntuan selepas Edwin van der Sar hanya mampu menahan sepakan percuma Morten Gamst Pedersen sebelum Louis Saha menyamakan kedudukan.

     Kekalutan antara Rio Ferdinand dan Van der Sar menyaksikan Bentley sekali lagi menjadi penjaring gol sebelum Lucas Neill menyempurnakan penalti. Bentley kemudian melakukan volley untuk gol keempat sebelum Ruud van Nistelrooy menjaringkan dua gol dalam masa lima minit dan Ferdinand dilayangkan kad merah.

     Dennis Bailey adalah pemain terakhir menjaringkan tiga gol menentang United dalam perlawanan liga - ketika bersama QPR di Old Trafford pada tahun baru 1992. Keputusan ini menyaksikan United semakin jauh di belakang pendahulu liga Chelsea, yang kini 15 mata di puncak liga.


1. Blackburn Rovers vs Manchester United 1-1, 14 Mei 2011, Liga Perdana, Ewood Park.

Rooney selepas menjaringkan penalti.
     Penalti kontroversi Wayne Rooney cukup untuk Manchester United bergelar juara liga untuk rekod 19 kali. Satu mata yang diperolehi bermakna medal juara liga ke 12 buat Sir Alex Ferguson - 25 tahun selepas pengurus Scotland itu berikrar mahu mengatasi rekod gelaran liga Liverpool.

     United bangkit daripada ketinggalan untuk sekali lagi meletakkan mereka dalam sejarah sebagai juara liga yang memiliki rekod perlawanan tempat lawan terburuk dengan hanya lima kemenangan. Perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan kekalahan kepada United sehingga penjaga gol Rovers Paul Robinson menjatuhkan Javier Hernandez dan pelawat dihadiahkan sepakan penalti.

     Rooney dengan tenang menyempurnakan penalti pada minit ke 73 dan para penyokong bersorak keriangan. Satu mata tersebut meletakkan United jauh daripada jangkauan pesaing terdekat Chelsea dan menjadikan kelab Old Trafford itu berada di depan Liverpool, yang memenangi gelaran liga ke 18 mereka pada tahun 1990.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...