Monday, March 5, 2012

Ashley Young puji kemenangan Manchester United ke atas Tottenham.

Young diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua United.
     Ashley Young memuji keupayaan Manchester United untuk memenangi perlawanan walaupun tidak bermain dengan baik selepas United mengalahkan Tottenham pada perlawanan liga semalam.

     Spurs menguasai perlawanan secara keseluruhannya di White Hart Lane namun tidak berjaya mendapat apa-apa daripada perlawanan penting ini selepas pasukan Sir Alex Ferguson mencatat kemenangan dengan persembahan mantap dan penyudah berbisa.

     Dan selepas menjaringkan dua gol dan mencipta gol pembukaan Wayne Rooney, Young menyatakan bahawa United mampu bertahan dan bangkit untuk mendapatkan tiga mata daripada apa sahaja situasi, walaupun nampak sukar.

     "Selagi kami bermain sebagai satu pasukan dan unit yang kukuh, seperti mana yang kami lakukan, maka kami tahu kami mampu memperolehi gol," kata pemain sayap itu. "Kami mendapat satu gol pada separuh masa pertama dan menjaringkan dua (gol) selepas rehat. Kami tidak berada pada tahap terbaik pada masa pertama, namun kami berada 1-0 di depan dan terus mengekalkan momentum pada masa kedua.

     "Kesemua pemain tahu kami tidak bermain dengan potensi sebenar. Kami perlu tunjukkannya pada masa kedua dan kami berjaya mendapatkan dua gol dan tiga mata. Kami berasa selesa selepas gol kedua. Kami hanya mahu teruskan dan tahu kami mampu peroleh banyak gol. Kami tahu jika kami terus mengasak kami akan dapat gol ketiga dan kami berjaya lakukannya."

     Kemenangan di utara London merapatkan jurang mata dengan pendahulu Manchester City kepada dua mata sebelum United bakal berdepan dengan jadual perlawanan yang agak 'mudah' selepas ini. Penyandang juara liga akan berdepan pasukan-pasukan di tangga 10 kebawah dalam tujuh perlawanan seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...