Friday, May 6, 2011

Busby Babes - Kebangkitan Hebat United Dari Tragedi Munich Kepada Juara Eropah.

     Tragedi Munich pada 1958 yang meragut nyawa bukan sahaja pemain-pemain Manchester United malahan lapan wartawan bolasepak terkemuka British pada masa itu akibat kegagalan kapal terbang yang mereka naiki berlepas dari landasan lapangan terbang Munich. Kapal terbang tersebut terhempas selepas percubaan ketiga sejurus berhenti mengisi minyak di Munich.

     Kejayaan United bangkit selepas tragedi untuk bergelar juara piala Eropah (kini Champios League) pertama dari England amat mengagumkan. United menewaskan Benfica dari Portugal pada final 1968 di stadium Wembley. Bertitik tolak dari tarikh keramat inilah nama Manchester United menjadi jenama terkenal dalam dunia bolasepak hingga kini.


     Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah yang dapat digambarkan apa yang dirasai Jimmy Murphy, pembantu pengurus United Sir Matt Busby yang tidak bersama rombongan Munich atas komitmen perlawanan antarabangsa (beliau merupakan pengurus pasukan Wales) ketika melawat tempat kejadian. Dengan keazaman yang masih ada beliau berjaya memujuk Bill Foulkes dan Harry Gregg beserta pemain-pemain baru seperti Ernie Taylor dan Stan Crowther untuk meneruskan kesinambungan United sebagai kelab bolasepak disegani.

     Sir Matt Busby sendiri hampir menemui ajal dengan dua kali diadakan upacara dan bacaan menjelang kematian, mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh dan kembali menyambung tugas.



     Musim berikutnya lebih mengejutkan dengan Bobby Charlton, Dennis Viollet dan Albert Scanlon kembali beraksi, dengan diperkuat Albert Quixall dari Sheffield Wednesday dan Warren Bradley dari Bishop Auckland. United menamatkan musim tersebut di tangga kedua di belakang Wolves dengan Charlton menjaringkan 29 gol.

     Tahun berikutnya United menamatkan liga di tempat kesembilan dengan Dennis Viollet menjaringkan 32 gol dalam liga yang sehingga kini masih kekal sebagai rekod United.

     Pada awal beberapa tahun selepas kejadian, situasi yang amat sukar terpaksa dialami  penyokong-penyokong United menyaksikan pasukan mereka yang berada dalam tempoh pembinaan semula menyaingi kehebatan original Busby Babes. United belum bersedia sepenuhnya untuk memenangi liga namun dengan kecekalan dan keazaman Sir Matt Busby berjaya mendapatkan pemain baru seperti Maurice Setters dan David Herd dari Arsenal.

     Selepas itu United mendapatkan pemain yang selama ini menjadi the missing puzzle iaitu Denis Law dari Torino, Itali. Tidak lama kemudian Sir Matt Busby mendapatkan Pat Crerand dan Noel Cantwell dari West Ham untuk mengukuhkan pasukan. United akhirnya berjaya memperolehi kejuaraan pertama dengan menewaskan Leicester dalam final piala FA 1963, lima tahun selepas tragedi Munich. Dengan penekanan diberikan kepada pemain muda,  United kembali menjadi kuasa bolasepak di England. Pemain-pemain muda seperti Johnny Giles dan Nobby Stiles diserapkan ke dalam skuad utama.

     Akhir sekali kemunculan George Best melengkapkan pasukan United yang mana gabungan Charlton, Law dan Best merupakan pemain terbaik Eropah dalam satu pasukan pada masa yang sama. United seterusnya memenangi kejuaraan liga tahun 1965 dan 1967. Tahun berikutnya lebih manis walaupun terlepas juara liga di tangan musuh setempat Manchester City, United memenangi kejuaraan Eropah 1968 dengan menewaskan Benfica 4-1 selepas masa tambahan. Bill Foulkes yang terselamat dari tragedi 10 tahun sebelumnya berkata selepas perlawanan yang Sir Matt Busby sememangnya inginkan kejuaraan Eropah buat United walaupun tertangguh 10 tahun.

     Buat penyokong United tarikh 28 Mei 2011 bertempat di stadium Wembley akan menjadi satu lagi detik keramat dalam catatan sejarah kelab bolasepak tersohor ini. Adakah kejayaan akan berulang?
Manchester United will never die.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...