Tuesday, June 28, 2011

Terkini - Manchester United melengkapkan perpindahan David de Gea.

David de Gea
       David de Gea bakal melengkapkan perpindahan yang dianggarkan berjumlah £18.3 juta dari Atletico Madrid ke Manchester United selepas tiba di Manchester semalam untuk pemeriksaan kesihatan.

      De Gea yang membantu pasukan Sepanyol Bawah 21 muncul juara Kejohanan Eropah di Denmark hujung minggu lalu, akan menjadikan perbelanjaan perpindahan musim panas United menghampiri £50 juta. Beliau dikenalpasti oleh Alex Ferguson sebagai pengganti kepada Edwin Van der Sar yang bersara hujung musim lalu.

     Walaupun terdapat cubaan daripada pihak United untuk menyembunyikan kehadiran de Gea di Hospital Bridgewater dengan menggunakan selimut putih, namun pihak media berjaya mendapatkan gambar kehadiran pemain 20 tahun itu untuk pemeriksaan perubatan semalam.


David de Gea tiba untuk pemeriksaan kesihatan.

     Setelah menghabiskan masa hampir sebulan dengan tugasan antarabangsa bersama pasukan bawah 21 Sepanyol, de Gea dijangka diberikan pelepasan cuti tambahan dan akan terlepas latihan pra-musim di Carrington mulai Isnin depan.

     Namun Ferguson bertekad memberi masa yang cukup untuk de Gea menyesuaikan diri dengan pemain-pemain lain terutamanya barisan pertahanan, maka pemain Sepanyol ini dijangka akan bersama pasukan United di Amerika Syarikat untuk siri jelajah 2011. Kali ini United dijadualkan bermain dalam lima perlawanan termasuk menentang Barcelona yang bermula 11 Julai.

     Tekanan yang bakal dihadapi de Gea pada usia yang sangat muda untuk seorang penjaga gol adalah sangat tinggi namun rakan senegara Pepe Reina dari Liverpool yakin de Gea mampu mengatasinya.

     Reina berkata: "Saya mengalu-alukan berita ini kerana David merupakan penjaga gol yang hebat. Beliau akan berusaha sekuat-kuatnya untuk membuktikan kepada Liga Perdana kehebatan yang dimilikinya sebagai penjaga gol.

     De Gea dan teman wanitanya berkesempatan menghabiskan masa bersama Alex Ferguson dan dibawa meninjau pusat latihan United di Carrington. Beliau akan menandatangani perjanjian lima tahun dan menyertai dua pemain lain iaitu Ashley Young dan Phil Jones sebagai edisi terbaru Old Trafford.

     Dan menurut laporan West Brom dalam pertimbangan bagi mendapat khidmat Tomasz Kuszczak, maka pemain Denmark Anders Lindegaard hampir pasti menjadi penjaga gol kedua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...