Monday, July 18, 2011

Anderson bersedia sebagai pengganti Paul Scholes?

Anderson
     Selepas persaraan Paul Scholes hujung musim lalu, para penyokong United dan pihak media terutamanya tidak putus-putus menegaskan perlunya Manchester United menggantikan tempat lagenda itu.

     Samir Nasri dan sekarang Wesley Sneijder kerap kali di kaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, tetapi persoalannya adakah itu jawapan kepada teka-teki siapakah pemain yang bakal menggantikan Scholes? Adakah Anderson - bintang Samba Brazil yang sentiasa tersenyum - mempunyai kualiti yang diperlukan untuk bermain di posisi Scholes.



     "Saya rasa saya sudah bersedia," Anderson memberitahu ManUtd.com dalam temubual eksklusif dari kem latihan di Seattle. "Saya bermain dengan baik untuk Manchester United sebelum ini dan saya yakin saya memiliki kualiti untuk bermain di posisi Scholes.

     "Beliau pemain yang luar biasa - sudah tentu saya memahaminya - saya rasa saya banyak belajar daripada beliau. Saya anggap beliau sebagai guru. Beliau banyak membantu saya."

     Sementara itu rakan sepasukan Rio Ferdinand juga memberitahu Sky Sport News bahawa musim depan adalah penentu buat Anderson menyerlahkan potensi dan bakat yang ada.

     "Anderson telah mengalami pelbagai kecederaan dalam beberapa tahun lalu dan terlepas beberapa perlawanan pra-musim. Diharapkan musim ini beliau akan lebih menyerlah pada pra-musim dan pamerkan yang terbaik daripadanya. Kami mempunyai pemain yang mampu memberikan impak yang terbaik."

     Anderson pastinya mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menyinar. Selain agresif dan berupaya mempertahankan bola, perlawanan terbaik beliau buat United hadir tatkala beliau memainkan peranan untuk menggerakkan bola, membawa ke kawasan lawan dan mencipta serangan.

     Persamaan beliau dengan Scholes ialah keupayaan hantaran-hantaran jauh yang tepat, namun aspek yang masih membingungkan ialah ketidakupayaan beliau dalam menjaringkan gol. Ini boleh dianggap perkara yang sudah dilupakan apabila setelah hanya menjaringkan satu gol dalam tiga musim pertamanya di Old Trafford beliau menjaringkan empat gol musim lalu termasuk tiga dalam Champions League.

     Red Devils mungkin kehilangan seorang lagenda, tetapi pintu terbuka luas buat wira baru muncul di Old Trafford dan pastinya Anderson salah seorang daripadanya.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...