Saturday, July 23, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 1.

Sir Matt Busby
     Sir Alexander Matthew 'Matt' Busby (26th May 1909 - 20th January 1994) adalah pemain bolasepak kelahiran Scotland yang paling menonjol dengan kejayaan sebagai pengurus kelab bolasepak Manchester United antara 1945-1969 dan 1970-1971.

     Sir Matt dilahirkan di kotej kecil di perkampungan Obirston, sebuah kampung perlombongan kecil di Bellshill utara Lanarkshire Scotland oleh pasangan Alexander and Nellie Busby. Apa yang menakjubkan, ibu bapanya diberitahu oleh doktor sejurus selepas dilahirkan yang "pemain bolasepak telah datang ke rumah ini."

     Ibu Sir Matt adalah anak kepada Jimmy Greer yang bekerja di pit lombong Obirston dengan bapanya. Selepas kelahiran Sir Matt ia diikuti dengan tiga adik beradik perempuan Delia, Kathy dan Margaret.

     Sebagai penganut Roman Katolik, Sir Matt menghadiri sekolah St Bride. Sebagaimana yang ditonjolkan dalam autobiografinya yang bertajuk Soccer at the Top: "Saya sangat gilakan bolasepak seperti kanak-kanak lain di Bellshill, dan lebih gila daripada kebiasaan kerana kami sudah mempunyai idola masing-masing. Terdapat dua pemain hebat pada masa itu iaitu Alex James dan Hughie Gallacher sebagai contoh. Mereka dalam usia 18 atau 19 tahun, saya rasa, saya sembilan atau 10." Alex James dan Hughie Gallacher kedua-duanya menjadi bintang dalam Football League dan Scotland antara tahun 1920an dan 1930an.    
    
     Ketika Perang Dunia Pertama meletus bapa Sir Matt menyertai tentera British. Beliau dihantar ke Western Front dan dibunuh oleh penembak tepat Jerman pada 1916. Tiga daripada bapa saudara Sir Matt juga terbunuh. Rick Glanvill menulis dalam Sir Matt Busby: A Tribute: "Daripada lelaki keluarga Busby, hanya Jimmy Greer dan Matt yang tinggal apabila perang berakhir. Seorang budak yang bijak dan berkelakuan baik, Matt terpaksa dengan menerima hakikat membesar sebagai dewasa sebelum masanya."

     Pada tahun 1919 ibu Sir Matt berkahwin dengan Harry Matthie. Hubungan beliau dengan bapa tirinya tidak berapa baik tetapi lebih kepada datuknya Jimmy Greer. Beliau adalah seorang sosialis dan ahli kesatuan perdagangan yang disegani, yang menganjurkan boikot terhadap bintang muzik Harry Lauder selepas penyanyi itu menyelar tindakan pelombong-pelombong mengadakan mogok.

     Pada usia 12 tahun, pengetua sekolah Sir Matt mengesyorkan beliau berpindah ke sekolah Motherwell Higher Grade kerana merasakan Sir Matt sangat pintar dan berpotensi menjadi 'guru sekolah kelas pertama'. Bagaimanapun Sir Matt meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun untuk menjadi pelombong. Beliau berkata: "Hanya ada dua pilihan untuk remaja lelaki pada waktu itu: bawah, bekerja di pit lombong atau atas, jika anda hebat dalam permainan bolasepak."

     Sebahagian ahli keluarga Sir Matt telah berhijrah ke Amerika Syarikat selepas kehilangan suami masing-masing dalam Perang Dunia Pertama. Nellie dan Harry Matthie juga mahu berhijrah namun Sir Matt enggan menyertai mereka kerana beliau yakin bahawa beliau akhirnya akan menjadi seorang pemain bolasepak profesional.

     Pada 1926 Sir Matt menyertai General Strike (mogok umum).Walaupun pada akhirnya terpaksa kembali bekerja, peristiwa ini memberi kesan mendalam kepada beliau dan kekal sebagai seorang sosialis sepanjang hayatnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...