Saturday, August 20, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 3.

     Pada April 1934, Wilf Wild (pengurus Manchester City dari 1932 hingga 1946) menandatangani Sam Barkas dari Bradford City dengan yuran perpindahan £5,000. Barkas mempunyai keupayaan 'mencipta permainan positif daripada posisi pertahanan'. Dengan kemunculan pemain seperti Eric Brook, Alec Herd, Fred Tilson, Ernie Toseland, Frank Swift, Jackie Bray and Billy Dale, City dilihat sebagai kelab yang mampu memberi saingan kepada dominasi Arsenal yang memenangi gelaran liga tiga kali berturut-turut, musim 1932/33, 1933/34 dan 1934/35.

     Rekod penonton seramai 79,491 menyaksikan perlawanan Manchester City bertemu Arsenal di Maine Road pada 23 Februari 1935. Eric Brook menjaringkan satu gol buat City untuk keputusan seri 1-1. Walaubagaimanapun ia adalah musim yang mengecewakan buat City yang hanya mampu menduduki tangga ke sembilan liga. Musim tersebut Sir Matt hanya bermain dalam 33 daripada 42 perlawanan.


     Jimmy Heale bermain dengan Sir Matt pada musim itu. Beliau kemudiannya mengimbas: "Semua orang tahu Matt bermain di bahagian kanan untuk City, tetapi kekuatan sebenar beliau adalah sebelah kiri. Pergerakan utama beliau adalah melepasi beberapa pemain dan bergerak kehadapan menuju ke bahagian tengah padang, kemudian menukarnya dengan menghantar bola ke penjuru di mana Ernie Toseland bersedia untuk gerakan seterusnya. Ia banyak mencipta peluang gol. Matt, adalah perancang pada masa itu."

     Stanley Matthews (bintang Stoke City dan Blackpool antara tahun 1932-1965) pernah menyatakan: "Satu daripada kekuatan Matt sebagai pemain adalah hantarannya. Bukan sahaja beliau dapat membuka pertahanan lawan tetapi hantarannya sentiasa tepat dan pada masa yang sesuai, dan sesuai buat pemain bahagian serangan City seperti Eric Brook, Freddie Tilson atau Alex Herd. Bagi kesemua pemain yang dikawal ketat ketika era 30an, Matt dapat atasinya dengan hanya satu hantaran. Saya rasa keupayaan untuk memilih rakan sepasukan dengan satu hantaran adalah petunjuk jelas visi beliau dalam permainan bolasepak."

     Tommy Lawton (pemain England antara tahun 1938-1946) bersetuju bahawa Sir Matt adalah penghantar bola terbaik: "Sesungguhnya sukan bolasepak belum pernah melihat penghantar bola yang tepat dan hebat selain pemain Scotland yang ceria dan mudah disukai. Adalah luar biasa melihat beliau menukar arah permainan dengan satu hantaran licik, dengan kelajuan dan ketepatan kepada pemain sasaran. Tiada apa yang kurang pada Matt. Hanya yang terbaik mampu melakukannya dan tidak kira di mana bola berada beliau sentiasa berusaha, mengambil posisi dan sentiasa berfikir beberapa langkah kedepan berbanding yang lain. Jadi tidak hairanlah Matt Busby meliputi kawasan yang lebih luas dalam setiap perlawanan berbanding pemain lain di atas padang dan dengan tujuan yang indah."

     Bagaimanapun, pada separuh kedua musim 1934/35, jersi nombor 4 Sir Matt telah dipakai oleh Jack Percival dengan lebih kekerapan, dan Sir Matt dijual kepada Liverpool setelah membuat lebih 200 penampilan dengan City.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...