Sunday, September 11, 2011

Blast from the Past - Pemain yang menjaringkan hatrik berturut-turut.

     Rooney menjadi pemain keempat selepas Les Ferdinand, Ian Wright dan Didier Drogba menjaringkan hatrik berturut-turut dalam dua perlawanan dalam sejarah Liga Perdana.

      Beliau kini dalam laluan untuk memecahkan rekod hatrik berturut-turut dalam tiga perlawanan minggu depan apabila United menanti kunjungan Chelsea - rekod yang masih kekal sejak 65 tahun lalu.

     Pemain terakhir yang mencatat tiga hatrik berturut-turut ialah pemain Liverpool Jack Balmer pada tahun 1946. Pemain lain yang turut berkongsi rekod tersebut adalah pemainTottenham Hotspur Frank Osborne pada 1925 dan Tom Jennings dari Leeds United pada 1926.

Les Ferdinand, Queens Park Rangers.

     Les Ferdinand dibeli oleh QPR dengan kos £15,000 pada April 1987 ketika bermain bersama Hayes dalam liga Vauxhall-Opel. Beliau memulakan musim 1991/92 sebagai pilihan utama di bawah pengurus Gerry Francis tetapi kemudian diketepikan dengan kehadiran pemain baru Gary Thompson.

     Ferdinand terus berjuang mendapatkan semula tempat dalam kesebelasan utama dan pada musim 1992/93 beliau terpilih untuk mewakili pasukan England. Pada penghujung musim beliau menjaringkan 46 gol dalam 99 perlawanan termasuk dua hatrik berturut-turut pada kemenangan 4-3 di laman sendiri menentang Nottingham Forest pada 10 April dan ketika menewaskan Everton 5-3 di Goodison Park pada 12 April.

Ian Wright, Arsenal.
     Ditandatangani oleh pengurus Arsenal pada masa itu George Graham untuk rekod kelab £2.5 juta. Wright membuat permulaan luar biasa kariernya bersama Arsenal. Selepas menjaringkan gol pada perlawanan pertamanya dengan Arsenal ketika menentang Leicester dalam Piala Liga, beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan liga berikutnya ketika menentang Southampton.

     Musim berikutnya 1993/94 beliau menjaringkan 22 gol dalam liga termasuk dua hatrik berturut-turut kedua-duanya ditempat lawan iaitu ketika menewaskan Ipswich 5-1 pada 05 Mac dan pada 19 Mac ketika membenam Southampton 4-0.

Didier Drogba, Chelsea.

     Ditandatangani dari Olympique Marseille pada Julai 2004 dengan kos perpindahan £24 juta menjadikan beliau pemain termahal dalam sejarah negaranya.    

Pemain antarabangsa Ivory Coast ini membantu Chelsea menjadi juara Liga Perdana musim 2009/10 pada perlawanan terakhir musim dengan menjaringkan hatrik ketika membelasah Wigan 8-0 pada 09 Mei di Stamford Bridge.

     Beliau kemudiannya menjaringkan hatrik pada perlawanan pembukaan liga musim 2010/11 apabila Chelsea menewaskan West Brom 6-0 pada 14 Ogos. Dengan jaringan tersebut beliau mengatasi rekod Jimmy Greaves dengan jumlah gol 132 sebagai penjaring tertinggi keenam Chelsea.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...