Tuesday, September 13, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Benfica.

      Pertembungan peringkat Eropah antara United dengan Benfica bukanlah sesuatu yang baru malah Benfica pernah menjadi salah satu kuasa besar bolasepak pada hujung tahun 50an dan awal 60an.

     Menjelang perlawanan peringkat kumpulan Champions League antara kita imbau top 5 perlawanan terdahulu antara kedua-dua pasukan.

5. Manchester United vs Benfica 3-1, 06 Dis 2006, Old Trafford.

     Manchester United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Benfica dan memastikan layak ke peringkat kalah mati sebagai juara kumpulan.

     Benfica di depan pada separuh masa pertama apabila pertahanan  Marcos Nelson membuat rembatan kencang daripada jarak 25 ela. Namun itu hanya membangkitkan semangat United dan Nemanja Vidic menyamakan kedudukan hasil daripada tandukan.

     Ryan Giggs menambah gol kedua juga menerusi tandukan sebelum Louis Saha melengkapkan keputusan 3-1.

4. Benfica vs Manchester United 0-1, 26 Sep 2006, Estadio da Luz.

     Jaringan hebat Louis Saha memberikan kemenangan penting buat United di Stadium of Light Lisbon. Saha merembat daripada luar kotak penalti menuju penjuru gol menewaskan penjaga gol Benfica.

     Ini adalah kemenangan pertama peringkat Eropah di tempat lawan buat United dalam masa hampit tiga tahun. Benfica menguasai separuh masa pertama namun selepas gol United kembali bertahan dan hampir-hampir menambah jaringan hingga tamat perlawanan.

3. Benfica vs Manchester United 2-1, 07 Dis 2005, Estadio da Luz.

     Manchester United tersingkir daripada saingan Champions League selepas tewas 2-1 di tangan Benfica. Paul Scholes memberikan permulaan yang baik buat United dalam laluan melayakkan diri ke peringkat seterusnya hanya selepas enam minit.

     Namun tandukan Geovanni menyamakan kedudukan dan disusuli jaringan Beto daripada jarak 20 ela untuk meletakkan tuan rumah di depan sebelum tamat separuh masa.

     Kekalahan tersebut menjadikan pasukan Sir Alex Ferguson tercorot dalam kumpulan D sekaligus tidak melayakkan mereka ke peringkat kalah mati Piala Uefa.

2. Benfica vs Manchester United 5-1, 09 Mac 1966, Estadio da Luz.

     Walaupun menang pada perlawanan pertama di Old Trafford dengan jaringan 3-2, namun pasukan Sir Matt Busby tiba di Lisbon dengan kurang keyakinan. Pada masa itu Benfica adalah kuasa hebat Eropah dan hanya di tangga kedua di belakang pasukan Real Madrid yang mendominasi Piala Eropah pada penghujung 1950an.

     Benfica layak ke perlawanan akhir empat kali dalam masa lima musim, kalah 1-0 kepada Inter Milan pada 1965. Kali terakhir United di Lisbon pada 18 Mac 1964, mereka dibelasah 5-0 oleh seteru Benfica iaitu Sporting Lisbon dalam perlawanan Cup Winners' Cup.

     George Best membuka jaringan hasil tandukan lambung sebelum menjaringkan satu lagi gol hasil gerakan cantik bermula daripada sepakan penjaga gol Harry Gregg, ditanduk oleh David Herd untuk memberi laluan kepada Best yang sebelum itu menewaskan dua pemain pertahanan untuk menjaringkan gol. John Connelly kemudiannya menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat separuh masa.

     Pada separuh masa kedua walaupun Benfica mengurangkan defisit jaringan namun United menambah lagi dua gol daripada Paddy Crerand dan Bobby Charlton untuk menjadikan keputusan akhir 5-1. Dengan keputusan agregat 8-3 United dijangka tidak menghadapi masalah untuk ke akhir namun digagalkan oleh pasukan Partizan Belgrade dari Yugoslavia dengan agregat 2-1.


1. Benfica vs Manchester United 1-4, 29 Mei 1968, Stadium Wembley.

     Musim 1967/68 Manchester United menyambut ulang tahun Tragedi Munich dengan menjulang trofi Eropah apabila mengalahkan Benfica 4-1 di Wembley. Celtic yang menjadi pasukan British pertama menjadi juara Eropah musim sebelumnya disingkirkan oleh Dynamo Kyiv pada pusingan pertama.

     Dalam laluan ke akhir di Wembley United mengenepikan cabaran Hibernians FC, FK Sarajevo, KS Górnik Zabrze dan Real Madrid.

     Namun United gagal memenangi sebarang perlawanan di tempat lawan di mana hampir tersingkir di separuh akhir.  Walaupun menang 1-0 pada perlawanan pertama di Old Trafford, namun United ketinggalan 3-1 pada perlawanan kedua di Santiago Bernabeu. Di ambang kekalahan keempat pada peringkat yang sama, dua gol jaringan David Sadler dan Bill Foulkes menjadikan agregat 4-3 memihak United.

     Perlawanan akhir menyaksikan tuah lebih memihak kepada United sebagaimana perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Portugal dan England. Alex Stepney menyelamatkan cubaan Eusébio pada minit-minit akhir untuk membawa perlawanan ke masa tambahan selepas gol Jaime Graça menyamakan kedudukan selepas Bobby Charlton meletakkan United di depan pada minit ke 54.

     Charlton kemudian menambah satu lagi gol sebelum satu gol masing-masing daripada George Best dan Brian Kidd memastikan United bergelar juara Eropah pertama dari England.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...