Saturday, October 1, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 6.


     Semasa pasangan lagenda Sir Matt dan Jimmy Murphy mengambil alih, United berada pada kedudukan ke 16 liga dan pada penghujung musim United berjaya menamatkan saingan di tangga ke empat dengan barisan pemain seperti Crompton, Hamlett, Chilton, Aston, Whalley, Cockburn, Delaney,Pearson, Rowley, Buckle dan Wrigglesworth.

     Pada musim 1946/47 menyaksikan format liga kembali kepada format liga kebangsaan dan bukan lagi format mengikut rantau semasa perang. Manchester United kembali memiliki momentum dengan 26 gol daripada Jack Rowley membantu kelab menduduki tangga naib juara liga, hanya satu mata di belakang musuh tradisi Liverpool.

Jack Rawley
     Musim 1947/48 bermula tidak begitu baik buat United, hanya dua kemenangan daripada 12 perlawanan pertama. Ini sekaligus mengakibatkan United terlepas peluang menjadi juara liga apabila sekali lagi berada di tempat kedua, tujuh mata di belakang juara Arsenal.

     Sungguhpun daripada segi pencapaian dalam liga boleh dianggap memuaskan namun dalam kejohanan Piala FA pasukan bimbingan Sir Matt mempamerkan aksi yang sangat cemerlang. Mereka mengungguli kejohanan daripada permulaan; menjaringkan keseluruhan 18 gol dalam lima perlawanan dalam laluan ke perlawanan akhir dan mengenepikan cabaran Aston Villa, Liverpool, Charlton Athletic, Preston North End dan Derby untuk bertemu Blackpool di perlawanan akhir.

     Perlawanan akhir berlangsung di stadium Wembley pada 24 April 1948. Dalam perlawanan terbuka di hadapan 100, 000 penyokong, Blackpool terlebih dahulu di depan hasil jaringan penalti Eddie Shimwell pada minit ke 12, selepas Stan Mortenson dijatuhkan oleh pertahanan United Allenby Chilton.

     Begitupun kedudukan berubah selepas 16 minit berselang apabila berlaku kekeliruan antara penjaga gol Blackpool Joe Robinson dan pertahanan Eric Hayward, ini diambil kesempatan oleh Jack Rowley yang mudah memasukkan bola ke gawang yang terbuka. Drama separuh masa pertama belum berakhir; tujuh minit berikutnya rembatan Stan Mortenson sekali lagi menewaskan Jack Crompton di gawang  United.

     Kelebihan 2-1 Blackpool hanya bertahan sehingga minit ke 69. United dihadiahkan sepakan percuma yang diambil Johnny Morris yang melambungkan bola dan ditanduk kencang oleh Jack Rowley.

     Dengan kedudukan terikat 2-2 kedua-dua pasukan saling bersilih ganti menyerang, namun ia lebih memihak kepada United apabila Crampton yang menyelamatkan percubaan Mortenson melorongkan bola kepada John Anderson, yang kemudian memberikan kepada Stan Pearson yang merembat dari jarak 25 ela menuju penjuru kanan gol Blackpool. Tiga minit kemudian percubaan Anderson terpantul pertahanan lawan dan menyebabkan Robinson terpaku untuk gol keempat United.

United juara Piala FA 1948
     Musim panas 1948 menyaksikan Sir Matt menjadi pengurus pasukan Great Britain pada Sukan Olimpik yang diadakan di London. Pasukan ini berjaya mara ke separuh akhir apabila tewas kepada juara sebenar Yugoslavia.

     Pada tahun 1950 Louis Rocca meninggal dunia, beliau bertanggungjawab membawa masuk pemain baru ke United untuk tempoh 15 tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun Sir Matt mempunyai idea sendiri untuk membentuk masa depan United.

     Beliau menandatangani Joe Armstrong untuk mengenalpasti bakat-bakat muda, kali ini untuk seluruh UK. Kelab tidak lagi hanya mendapatkan bakat dari Manchester dan kawasan sekitarnya. Dalam masa setahun Armstrong telah menandatangani Dennis Viollet, Jeff Whitefoot dan Jackie Blanchflower.


Dennis Viollet (dua kanan) bersama Charlton dan Sir Matt
     United pada masa itu tidak terkenal dengan kontinjen pemain muda mereka pada awal pembabitan Sir Matt sebagai pengurus. Pemain seperti Reg Allen, Johnny Carey dan Stan Pearson (semua 33) bersama Roger Byrne dan Ernie Bond  (22) dan Johnny Berry (25).

     Sir Bobby Charlton mendedahkan dalam temubual yang Sir Matt memberitahu pemain-pemain terutama pemain muda: "Kesemua pemuda yang anda lihat pergi ke kilang di Trafford Park, mereka datang melihat anda semua pada hari Sabtu. Mereka mempunyai kerja yang bosan, jadi anda perlu berikan mereka sesuatu, sesuatu untuk mereka nikmati."    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...