Saturday, October 15, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Liverpool.

     Pertemuan Manchester United dengan Liverpool adalah perlawanan terbesar dan penting bagi kedua-dua pasukan setiap musim tidak kira samada dalam liga mahupun kejohanan piala yang lain. Liverpool yang mengungguli era 1970an hingga 1980an manakala United mengambil alih pada era 1990an dan 2000an.

     Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan Sabtu ini kita imbas top 5 perlawanan klasik antara kedua pasukan selepas era Liga Perdana.

5. Liverpool vs Manchester United 1-2, 01 Dis 2002, Liga Perdana, Anfield.

     Detik di mana penjaga gol Liverpool Jerzy Dudek mahu melupakan serta merta perlawanan yang pastinya terburuk dalam sejarah kariernya di Anfield. Kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 0-0 hinggalah Dudek membenarkan bola tandukan Jamie Carragher melepasi antara kakinya.

     Diego Forlan yang gagal menjaringkan gol dalam 27 perlawanan, mengambil kesempatan daripada kesilapan Dudek. Penyerang Uruguay itu kemudiannya melengkapkan mimpi ngeri Dudek dengan menjaringkan gol kedua untuk kemenangan 2-1 United walaupun Sami Hyypia menjaringkan gol saguhati pada minit ke 82.

4. Liverpool vs Manchester United 3-3, 04 Jan 1994, Liga Perdana, Anfield.

     Anfield dikejutkan hanya selepas 25 minit perlawanan apabila United berada di depan dengan jaringan 3-0. Steve Bruce, Ryan Giggs dan sepakan percuma Dennis Irwin masing-masing meletakkan pelawat di depan.

     Namun Liverpool bangkit dengan bergaya dengan dua jaringan jarak jauh Nigel Clough sebelum Neil Ruddock (gambar) melengkapkan kebangkitan di Anfield. Ia nyata tidak cukup untuk menyelamatkan pengurus Graeme Souness yang dipecat sebulan selepas itu.

3. Manchester United vs Liverpool 1-0, 11 Mei 1996, Akhir Piala FA, Wembley.

     Dengan kapten Eric Cantona yang kembali dalam musim penuhnya selepas digantung sembilan bulan akibat sepakan kung-fu di Crystal Palace, United sekali lagi berpeluang meraih kejuaraan berganda liga dan Piala FA namun seteru tradisi Liverpool menjadi halangan terakhir.

     Perlawanan seolah-olah akan berlanjutan ke masa tambahan hinggalah Cantona melakukan half-volley daripada luar kotak penalti hasil sepakan sudut David Beckham yang hanya mampu ditepis keluar David James untuk gol tunggal perlawanan sekaligus menjadikan United juara berganda buat kali kedua dalam sejarah.

    
2. Manchester United vs Liverpool 1-4, 14 Mac 2009, Liga Perdana, Old Trafford.

     Selepas permulaan hebat musim 2008/09, Liverpool dilihat bakal mengakhiri penantian untuk bergelar juara liga, tetapi pada ketika berkunjung ke Old Trafford ia adalah perlawanan penting penentu kejuaraan.

     Cristiano Ronaldo meletakkan United di depan daripada sepakan penalti namun Liverpool bangkit menerusi gol Fernando Torres dan penalti Steven Gerrard. United bertambah parah apabila Nemanja Vidic dibuang padang dan Fabio Aurellio menjaringkan gol daripada sepakan percuma. Andrea Dossena melengkapkan hari gemilang Liverpool dengan gol keempat dalam masa kecederaan.

1. Manchester United vs Liverpool 2-1, 24 Jan 1999, Pusingan 4 Piala FA, Old Trafford.

     Musim yang menyaksikan United bergeluar juara Treble dengan merangkul Liga Perdana, Piala FA dan Champions League dan kebiasaannya dikaitan dengan Nuo Camp dan kebangkitan saat akhir menewaskan Bayern Munich. Namun United tidak mungkin mencipta sejarah andainya tidak menewaskan Liverpool pada pusingan 4 Piala FA.

     Liverpool mendahului hampir keseluruhan perlawanan apabila Michael Owen menanduk masuk gol pertama perlawanan hanya selepas 155 saat. Dengan perlawanan hanya tinggal dua minit Dwight Yorke menyamakan kedudukan sebelum pemain gantian Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan gol kemenangan.  Penantian 80 tahun Liverpool untuk menewaskan United dalam Piala FA berterusan dan pemain-pemain meninggalkan Old Trafford dengan penuh kekecewaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...