Saturday, November 19, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Swansea.

     Menjelang pertemuan kedua pasukan hujung minggu ini kita lihat top 5 pertemuan klasik United dan Swansea. Kali terakhir Swansea beraksi dalam liga utama ialah musim 1982/83.

5. Swansea vs Manchester United 3-1, 16 Jan 1932, Divisyen Dua, Vetch Field.

     United tiba di Swansea dengan rekod tiga kekalahan berturut selepas Krismas termasuk dibelasah 7-0 oleh Wolvehampton Wanderers. Namun United gagal untuk menyekat kemaraan Swansea apabila tewas 3-1 kepada tuan rumah. Gol saguhati United dijaringkan oleh Arthur Warburton (gambar).

     Minggu berikutnya sekali lagi United tewas kali ini kepada Tottenham Hotspur di White Hart Lane sebelum menang tipis 3-2 ke atas Nottingham Forest di Old Trafford seminggu selepas itu.



4. Manchester United vs Swansea 5-1, 04 Dis 1937, Divisyen Dua, Old Trafford.

     Musim di mana United memberikan cabaran dalam perebutan gelaran liga Divisyen Dua dan menamatkan saingan musim 1937/38 empat mata dibelakang juara Aston Villa.

     Beraksi di laman sendiri United membenam cabaran pelawat dengan empat gol jaringan Jack Rowley (gambar) dan satu gol dari Bryant. United terus mengekalkan momentum hingga penghujung musim dengan hanya merekodkan lima kekalahan selepas perlawanan ini.



3. Swansea vs Manchester United 2-2, 16 Apr 1938, Divisyen Dua, Vetch Field.

     Perlawanan timbal balik musim yang sama, di mana kali ini berlangsung di Swansea. Kedua pasukan kelihatan lebih bersedia terutama tuan rumah selepas kekalah di Old Trafford empat bulan sebelumnya.

     Perlawanan yang disaksikan oleh lebih 13 ribu penonton berkesudahan seri 2-2 dengan gol-gol United dijaringkan oleh Rowley dan Smith.


2. Swansea vs Manchester United 2-0, 30 Jan 1982, Divisyen Satu, Vetch Field.

     Setelah tewas dalam kejohanan Piala Liga dan Piala FA kepada Tottenham dan Watford masing-masing, United hanya menumpukan perlawanan liga untuk baki musim ini. Kalah tipis 1-0 pada perlawanan pertama di Old Trafford September tahun sebelumnya, tuan rumah pastinya mahu membalas kekalahan tersebut.

     Ia nyata menjadi realiti apabila Swansea menang 2-0 dalam perlawanan ini. Buat United ini adalah salah satu daripada lima kekalahan di tempat lawan musim tersebut. United akhirnya muncul tempat ketiga liga dibelakang juara Liverpool dan Ipswich Town.


1. Manchester United vs Swansea 2-1, 07 Mei 1983, Divisyen Satu, Old Trafford.

     Perlawanan pertama berkesudahan 0-0 pada pertengahan Disember sebelumnya. Kedua pasukan bertemu kali ini di Old Trafford dengan perlawanan berpihak tuan rumah. Dua gol United dijaringkan Bryan Robson (gambar) dan Frank Stapleton.

     United yang musim ini menduduki tangga ketiga liga dibelakang juara Liverpool dan Watford, juga beraksi cemerlang dalam Piala FA dengan menjadi juara menewaskan Brighton 4-0 pada perlawanan akhir ulangan selepas terikat 2-2 pada perlawanan asal. Robson menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...