Saturday, November 12, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 7.

     Walaupun United memenangi Piala FA pertama selepas 39 tahun, perhatian Sir Matt terus ditumpukan untuk membawa kejuaraan liga ke Old Trafford. United berada dalam laluan betul apabila menjadi naib juara pada tahun 1947, 1948, 1949 dan 1951, dan mereka memulakan musim 1951/52 dengan penuh motivasi dengan pengalaman saingan merebut kejuaraan.

     Jack Rawley memulakan musim tersebut dengan bergaya dengan jaringan hatrik berturut-turut buat United dalam dua perlawanan pertama menentang West Bromwich Albion dan Middlesborough. Walaupun Rawley dan Pearson beraksi cemerlang, menjelang Disember 1951 United masih di belakang saingan kelab London Spurs dan Arsenal. Namun selepas tanpa kalah dalam 20 minggu, menang 10 daripada 16 perlawanan United berada tidak jauh daripada pencabar gelaran yang lain.


     Selepas kekalahan berturut-turut oleh Huddersfield Town dan Portsmouth, pemain United terpaksa berusaha dengan lebih kuat jika mereka mahu membawa trofi juara liga kembali ke Old Trafford selepas lebih 40 tahun. Selepas kehilangan mata akibat keputusan seri 1-1 dengan Burnley di Turf Moor, kemahiran motivasi Sir Matt dan Murphy terus diuji. Apa sahaja yang mungkin di katakan mereka kepada para pemain nyata amat berkesan, United menang empat daripada lima perlawanan dengan menjaringkan 21 gol, ini termasuk membelasah Liverpool 4-0 dan Arsenal 6-1 di Old Trafford. Akhirnya United bergeluar juara liga dengan memintas Spurs dengan empat mata.

Manchester United memulakan musim 1952/53 sebagai juara liga dan Charity Shield
     Selepas memenangi liga 1951/52, Sir Matt tetap menaruh keyakinan kepada pasukan yang rata-rata semakin meningkat usia. Namun ia jelas menunjukan bukti betapa para pemain telah melepasi zaman kehebatan masing-masing apabila kalah enam daripada 11 perlawanan pertama. Perubahan drastik perlu dilakukan. Walaubagaimanapun, Sir Matt yang terkenal dengan sikap tidak mudah putus asa, mempunyai perencanaan sendiri untuk menanganinya.

Sir Matt bersama Burt Whalley
      Sir Matt sentiasa cenderung untuk mewujudkan satu pasukan yang terdiri daripada barisan pemain muda yang telah dididik oleh beliau dan dua jurulatihnya Burt Whalley dan Tom Curry dengan cara Manchester United. Selepas membina asas untuk akademi bolasepak yang inovatif, Jimmy Murphy dan pembantunya Joe Armstrong mula mencari dan mendaftar bakat-bakat muda terbaik seluruh kepulauan British Isles dengan Ireland Utara dan Ireland membuktikan adanya lubuk pemain bolasepak hebat. Penghargaan juga kepada pencari bakat tempatan Bob Harper dan Bob Bishop di Belfast dan Billy Beehan di Dublin.

     Rancangan Sir Matt mula menunjukan hasil apabila United mendominasi bolasepak England pada peringkat belia dan ini dibuktikan dengan memenangi Piala FA (FA Youth Cup) lima tahun berturut-turut sejak mula diperkenalkan pada 1952. Dominasi ini nyata memberi impak apabila secara berperingkat-peringkat kumpulan pemain muda ini diserapkan ke dalam pasukan utama.

Pasukan muda United, Edwards (berdiri, kiri) dan Charlton (duduk, dua dari kanan)
     Hasilnya pemain-pemain seperti David Pegg, John Doherty, Bill Foulkes, Jeff Whitefoot, Danny Blanchflower dan Duncan Edwards mula tersenarai dalam pasukan utama. Sir Matt tidak hanya bergantung kepada barisan pemain muda semata-mata; beliau juga membelanjakan wang dan jumlah wang yang besar, untuk membawa United ke hadapan.

     Satu antaranya adalah dengan mendapatkan Tommy Taylor di mana Sir Matt menandatanganinya dari Barnsley dengan kos £29,999 pada Mac 1953. Walaupun permulaan musim yang hambar namun dengan pembelian pemain baru membantu menamatkan musim di tempat ke lapan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...