Sunday, November 13, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 8.

     Musim berikutnya, masa depan malahan sejarah Manchester United akan berubah buat selamanya apabila United bertemu dengan Kilmarnock dalam perlawanan persahabatan pada Oktober 1953. Sir Matt memutuskan untuk menyenaraikan enam daripada Busby Babes pada perlawanan itu dan kemenangan memihak kepada United 3-0.

Busby Babes

      Selepas kemenangan itu Sir Matt mendapat idea untuk menurunkan kesemua barisan Busby Babes dalam perlawanan liga, pada ketika itu beliau hanya beberapa kali menurunkan satu atau dua pemain untuk perlawanan tertentu.

     Dalam perlawanan Divisyen Satu berikutnya menentang Huddersfield Town pada 31 Oktober 1953, Sir Matt menambah pemain baru seperti Duncan Edwards, Jackie Blanchflower dan Dennis Viollet dalam pasukannya yang telah pun dibarisi pemain muda seperti Ray Wood, Bill Foulkes, Roger Byrne dan Tommy Taylor. Namun United hanya mampu seri 0-0 pada perlawanan itu.

Edwards menandatangani perjanjian pada 1953
     Sungguhpun keyakinan yang ditunjukan oleh Sir Matt terhadap barisan Busby Babes, United hanya mampu di tangga keempat liga musim 1953/54 dan musim berikutnya - dengan lebih ramai pemain muda seperti Albert Scanlon, Mark Jones dan Liam Whelan diturunkan dalam beberapa perlawanan - United sekadar menamatkan musim ditangga kelima dengan gelaran liga Divisyen Satu jatuh kepada Chelsea.
     
         
     Walaubagaimanapun musim berikutnya 1955/56, Busby Babes semakin serasi dan memenangi gelaran liga dengan perbezaan 11 mata di depan naib juara Blackpool, dengan purata umur pasukan ialah 22 tahun. Masa depan United sangat cerah dengan akademi melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat setiap tahun demi tahun.

Manchester United dengan trofi liga 1955/56

Bobby Charlton
     Musim seterusnya 1956/57 menyaksikan United mengekalkan gelaran juara liga dengan mengatasi pencabar terdekat Tottenham Hotspur dengan lapan mata dan menjaringkan lebih 100 gol. Musim ini juga menyaksikan kemunculan pemain yang boleh dikatakan pemain terbaik England iaitu Bobby Charlton, yang pada kempen musim itu menjaringkan 10 gol daripada 14 penampilan.

     Musim ini juga bukan sekadar memenangi gelaran liga dan kemunculan Bobby Charlton semata-mata, United juga layak ke akhir Piala FA dan separuh akhir Piala Eropah. Dalam saingan Piala FA, Busby Babes bertemu Aston Villa di Wembley, mengharapkan untuk kejayaan double buat pertama kali.



Wood dan McParland terbaring
     United turun dengan keyakinan tinggi, namun hanya selepas enam minit pemain Aston Villa Peter McParland mengasak penjaga gol United Ray Wood yang telah pun menangkap bola. Asakan McParland begitu hebat hinggakan Wood mengalami keretakan tulang pipi.

    Wood terpaksa diusung keluar  namun dengan undang-undang perlawanan pada masa itu tidak membenarkan pemain gantian maka Danny Blachflower menjadi penjaga gol sementara. McParland akhirnya dalam perlawanan itu menjaringkan dua gol sementara gol saguhati United dijaringkan oleh Tommy Taylor untuk keputusan akhir 2-1.


     Sementara dalam kejohanan Piala Eropah laluan United disekat Real Madrid di separuh akhir. Real Madrid yang mendominasi kejohanan lima tahun berturut-turut dari 1956 hingga 1960, mengalahkan United 3-1 di Santiago Bernabeu dan pada perlawanan kedua di Old Trafford kedua pasukan seri 2-2 menjadikan agregat 5-3 memihak Real Madrid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...