Monday, December 19, 2011

Blast from the Past - Rekod Manchester United dalam Piala UEFA atau Europa League sebelum ini.

     Europa League atau sebelum ini dikenali sebagai Piala UEFA bukanlah kejohanan utama bolasepak Eropah dan tidak mengejutkan United hanya menyertainya sebanyak enam kali. Sebelum musim 1971/72 kejohanan ini juga dikenali Inter Cities Fairs Cup. Peringkat separuh akhir adalah rekod terbaik United dalam kejohanan ini pada musim 1964/65 di mana ia masih menggunakan nama lama.

     Setelah diundi bertemu dengan Ajax, yang juga pernah dipertemukan pada kejohanan sama musim 1976/77, kita imbas rekod terdahulu United dalam kejohanan ini.



1. Musim 1964/65.

Bobby Charlton
     Permulaan musim yang agak perlahan buat United dengan tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan liga sebelum bertemu lawan dalam Inter-Cities Fairs Cup. Menanti dipusingan pertama ialah kelab Sweden Djurgarden. Ia terbukti laluan mudah apabila United menewaskan Djurgarden dengan agregat 7-2, begitu juga pada pusingan kedua apabila membelasah Borussia Dortmund dengan agregat 10-1. Dalam dua perlawanan ini Bobby Charlton menjaringkan tujuh gol termasuk saru hatrik.

     Lawan seterusnya adalah saingan liga England Everton. Keputusan dua perlawanan antara dua kelab England ini memihak kepada United dengan agregat 3-2. Trio George Best, Denis Law dan Bobby Charlton membawa United menjuarai liga mengatasi Leeds dengan perbezaan gol. Ini mungkin sebagai membalas dendam kepada Leeds yang menyingkirkan United di separuh akhir Piala FA.

     Pada peringkat suku akhir United bertemu Strasbourg dari Perancis dan sungguhpun seri 0-0 pada perlawanan kedua di Old Trafford namun kemenangan 5-0 di Stade de la Meinau sudah cukup melayakkan United ke separuh akhir, dengan Law menjaringkan dua gol. Namun di separuh akhir United akhirnya tunduk kepada lawan dari Hungary Ferencvaros yang juga juara sebenar selepas tiga perlawanan termasuk play-off. Musim ini juga menyaksikan Law dinamakan sebagai European Footballer of the Year.


2. Musim 1976/77.

     Musim kedua selepas kembali daripada Divisyen Dua, dengan musim sebelumnya United menduduki tangga ketiga liga empat mata di belakang juara Liverpool. United juga layak ke akhir Piala FA sebelum tewas kepada Southampton 0-1. Musim 1976/77 United bermula baik dengan empat perlawanan tanpa kalah sebelum tewas 2-3 kepada Spurs.

     Dalam saingan Piala UEFA United bertemu Ajax Amsterdam pada pusingan pertama dan ia memihak kepada pasukan Old Trafford dengan agregat 2-1 jaringan Macari dan Mcllroy. Menanti United ialah gergasi Itali Juventus. Sungguhpun menang tipis 1-0 di Old Trafford namun perlawanan kedua United tumbang dengan jaringan tiga gol.

     Sungguhpun hanya menduduki tempat keenam liga, namun United masih mendapat trofi musim ini iaitu Piala FA apabila menewaskan Liverpool 2-1 hasil jaringan Greenhoff dan Pearson.


3. Musim 1980/81.

     Selepas menjadi naib juara liga di belakang Liverpool pada musim sebelumnya, United bermula baik pada perlawanan pertama musim dengan menewaskan Middlesbrough 3-0. Namun pada perlawanan kedua United tewas mengejut kepada Wolves. Menjelang pertengahan September United hanya mencatat dua kemenangan dalam semua kejohanan, ini termasuk disingkirkan Conventry City dalam Piala Liga.

     Pusingan pertama Piala UEFA United diundi bertemu kelab Poland Widzew Lodz. Dengan keputusan seri 1-1 di laman sendiri United perlu menjaringkan gol di Poland untuk layak ke peringkat seterus. Keputusan perlawanan kedua mengecewakan United apabila seri 0-0 dengan Widzew layak dengan gol tempat lawan. United mengakhiri musim dengan tangan kosong dan ditangga ke lapan liga.





4. Musim 1984/85.

United meraikan Piala FA
     Selepas terkandas pada peringkat separuh akhir Cup Winners Cup musim sebelumnya, United beraksi baik dalam kejohanan Piala UEFA. Selepas menewaskan kelab Hungary Raba Varas (agregat 5-2) dan PSV Eindhoven (agregat 1-0) menanti United pada pusingan ketiga adalah kelab Scotland Dundee United.

     Kedua pasukan sama kuat dengan seri 2-2 pada perlawanan pertama di Old Trafford namun United berjaya mengatasi saingan Britain ini pada perlawanan kedua dengan jaringan 3-2. Kelab Hungary Videoton adalah lawan United pada suku akhir, namun selepas terikat dengan agregat 1-1, United kalah penentuan sepakan penalti 5-4 apabila Stapleton dan Albiston keduanya gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.

     Walaupun hanya  mendapat tangga keempat liga United berjaya menewaskan Everton 1-0 dalam perlawanan akhir Piala FA untuk trofi tunggal musim ini.

      
5. Musim 1992/93.

Neville - debut dengan Torpedo Moscow
    Selepas terlepas gelaran liga musim sebelumnya kepada Leeds United dengan hanya perbezaan empat mata, United memulakan musim ini dengan dua kekalahan dan satu seri pada tiga perlawanan awal musim. Ini bukanlah permulaan yang baik untuk menghadapi kempen Liga Perdana yang baru diperkenalkan.

     Sebelum perlawanan pertama dalam Piala UEFA menentang Torpedo Moscow pada 16 September, United mendapat 'tonik' sempurna dengan mencatat lima kemenangan berturut dalam liga. Perlawanan pertama di Old Trafford berakhir hambar dengan keputusan seri 0-0.

     Perlawanan kedua berlangsung di Moscow juga berakhir dengan seri tanpa jaringan namun penuh dengan drama. Bukan sekadar perlawanan melewati masa tambahan dan ditentukan dengan penentuan sepakan penalti malah penyerang United Mark Hughes dibuang padang dengan dua minit sebelum 90 minit masa normal berakhir.

     Dua sepakan penalti pertama Torpedo diselamatkan Peter Schmeichel dan juga terkena palang. Paul Ince dan Denis Irwin meletakan United 2-0 di depan, manakala sepakan Steve Bruce diselamatkan Alexander Podshivalov. Bryan Robson berjaya menyempurnakan sepakan penaltinya untuk mengikat kedudukan 3-3 setelah sepakan penalti Brian McClair melepasi palang. Walaubagaimanapun Gary Pallister gagal menyempurnakan sepakannya dan United tewas 4-3 sepakan penalti. Musim ini United berjaya menamatkan kemarau gelaran liga selama 26 tahun dengan muncul juara 10 mata di depan Aston Villa.


6. Musim 1995/96.

Schmeichel meraikan gol.
     United sekali lagi tewas pada perlawanan pertama musim dengan Aston Villa namun menang empat perlawanan berikutnya dalam liga sebelum berdepan lawan dalam kejohanan Piala UEFA Rotor Volgograd dari Rusia. Perlawanan pertama di tempat lawan United hanya mampu seri 0-0 dan memiliki kelebihan pada perlawanan kedua di tempat sendiri.

     Namun ia tidak memberi apa-apa kerana hanya selepas 25 minit perlawanan United ketinggalan dengan dua gol dan untuk layak perlu menjaringkan tiga gol bagi memansuhkan dua gol tempat lawan kelab Rusia itu. Satu gol masing-masing oleh Paul Scholes pada minit ke 80 dan Peter Schmeichel pada minit ke 89 belum cukup untuk membawa United melangkah ke peringkat seterusnya.

     Sungguhpun pada awal musim tidak diberikan harapan oleh ramai pihak untuk bergelar juara namun United pada hujung musim bergelar juara berganda buat kali kedua dengan trofi liga dan Piala FA.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...