Saturday, December 24, 2011

Sejarah Sir Matt Busby - Siri 9.

Manchester United musim 1957/58
     Permulaan musim 1957/58 menyaksikan Busby Babes disebut-sebut untuk membawa kejayaan trebel pada penghujung musim, termasuk liga, Piala FA dan Piala Eropah, namun semua keghairahan dan keseronokan terkandas di tengah jalan dengan Tragedi Munich pada Februari 1958.

     Sir Matt telah membina daripada sistem pemain remaja Manchester United yang mana ditakdirkan untuk menguasai bolasepak England dan Eropah beberapa tahun akan datang.

     Pada masa ini Busby Babes seolah-olah tidak dapat dikalahkan. Pasukan yang memenangi kejuaraan liga 1956 dengan purata umur pemain hanya 22 tahun, adalah pasukan termuda merangkul gelaran liga England. Tahun berikutnya mereka sekali lagi muncul juara liga, dan menyebabkan banyak pihak menyifatkan tiada apa yang menghalang barisan bintang muda Manchester United daripada memenangi segalanya.

     Selepas menewaskan Shamrock Rovers pada pusingan pertama Piala Eropah dan layak ke pusingan seterusnya, United kini berada di tangga keempat Divisyen Satu di belakang pendahulu bersama Nottingham Forest dan Wolves yang berkongsi 15 mata. Di tempat ketiga West Brom dengan 14 mata, diikuti United 13 mata selepas 10 perlawanan.

     Pada 16 November, United bermain Sheffield Wednesday di Old Trafford dan menang tipis 2-1 dengan Colin Webster, yang menggantikan Dennis Viollet yang cedera menjaringkan kedua gol.

     Demam kejohanan Eropah melanda Manchester sekali lagi dengan juara Czech menanti di pusingan kedua. United masih tanpa Dennis Viollet dengan barisan pemain pada perlawanan itu seperti berikut : Wood; Foulkes, Byrne; Colman, Blanchflower, Edwards; Berry, Whelan, Taylor, Webster dan Pegg.

Colin Webster
     Dukla membuktikan mereka memiliki pertahanan kental dan bermain dengan kelebihan fizikal. Mereka bermain dengan disiplin, teratur dan semangat sepasukan. Pada separuh masa kedudukan masih tanpa jaringan. Selepas perlawanan bersambung pada minit ke 65, David Pegg mendapat bola di sebelah kiri dan membuat hantaran ke arah Tommy Taylor yang walaupun menerima asakan lawan, melorongkan bola kepada Colin Webster untuk disudahkan untuk gol pertama perlawanan.

     Tommy Taylor menambah jaringan 10 minit kemudian hasil sepakan sudut Johnny Berry sebelum Pegg menjadikan kedudukan 3-0 hingga tamat perlawanan - bekalan sempurna untuk perlawanan timbal balik di Prague.


United berdepan Newcastle
     
     Sabtu selepas perlawanan dengan Dukla, United bertandang ke St. James’ Park bertemu Newcastle. Viollet masih belum pulih sementara Berry mendapat kecederaan pada perlawanan Eropah sebelum ini, maka Albert Scanlon menggantikan beliau dengan Webster di sebelah kiri.

     Hampir 54,000 orang menyaksikan kekalahan tuan rumah dengan jaringan 2-1 hasil jaringan Duncan Edwards dan Tommy Taylor, untuk dua mata penuh (sistem dua mata untuk kemenangan). Wolves menewaskan Manchester City 4-3, West Brom kalahkan Sunderland 3-0, dan North End menang 3-0 ke atas Bolton, menyaksikan tiada perubahan kedudukan liga.

     Perlawanan kedua dengan Dukla berlangsung pada 04 Disember, walaubagaimanapun United mensia-siakan banyak peluang sepanjang perlawanan dengan perlawanan memihak tuan rumah 1-0. Namun United layak dengan agregat 3-1. Sir Matt jelas kurang berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun layak ke pusingan ketiga. Beliau tidak memarahi atau mengkritik pemain-pemainnya selepas perlawanan, tetapi jauh dalam dirinya tahu akhirnya, jika pasukan beliau tidak memperbaiki prestasi terkini mereka, beliau akan membuat rombakan besar jika mahu terus memberi cabaran dalam tiga kejohanan.

      Undian Piala Eropah dibuat dan United berdepan pasukan dari Yugoslavia Red Star Belgrade. Pertemuan ini pastinya bukan mudah dengan sekali lagi perlawanan pertama di Old Trafford pada 14 Januari 1958. Tempoh Krismas termasuk perlawanan derby dengan City di Maine Road yang berkesudahan seri 2-2 dengan gol daripada Bobby Charlton dan Dennis Viollet yang kembali daripada kecederaan. United juga diundi berdepan Workington Town dalam pusingan ketiga Piala FA.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...