Sunday, December 18, 2011

Top 5 - Perlawanan klasik Manchester United dengan Queens Park Rangers.

     Menjelang perlawanan Manchester United dengan Queens Park Rangers hujung minggu ini kita imbas senarai top 5 perlawanan klasik antara kedua pasukan.

5. Manchester United vs QPR 8-1, 19 Mac 1969, Liga Divisyen Satu, Old Trafford.

     Ini merupakan antara kemenangan terbesar United di laman sendiri sebaliknya buat QPR perlawanan ini kekal sebagai kekalahan terbesar dalam sejarah kelab di tempat lawan. United turun sebagai juara bertahan Piala Eropah 1968, walaubagaimanapun tanpa kemenangan dalam lima perlawanan termasuk kekalahan 0-1 di tangan seteru setempat City di Old Trafford pada 08 Mac.

     Sekali lagi berdepan kelab dari London - empat hari sebelumnya tewas 2-3 kepada Chelsea di Stamford Bridge - United perlu bangkit untuk bersaing dengan saingan liga yang lain, dan hanya Piala Eropah satu-satunya kejohanan piala buat United setelah disingkirkan Everton dalam Piala FA.

     United menang bergaya 8-1 dengan Willie Morgan (gambar) mencatat hatrik, Best dengan dua gol dan masing-masing satu gol daripada Aston, Kidd and Stiles. United mengakhiri musim ditangga ke-11 dan 25 mata dibelakang juara liga Leeds United. Dalam Piala Eropah, laluan United tersekat di separuh akhir apabila tewas agregat 1-2 kepada AC Milan.


4. QPR vs Manchester United 4-0, 19 Apr 1977, Liga Divisyen Satu, Lotfus Road.

Tommy Docherty (dua kiri) meraikan Piala FA 1977
     Pada musim 1976/77, United dipertemukan dengan QPR pada pusingan ke-4 Piala FA dan kemenangan berpihak kepada United dengan 1-0. Dalam saingan liga perlawanan pertama hanya berlangsung pada April di Loftus Road. Rekod United di tempat lawan menjelang perlawanan ini tidak begitu baik dengan lapan kekalahan.

     Ia nyata memberikan petanda perkara yang bakal berlaku apabila United - tidak dibantu dengan jadual liga enam perlawanan dalam masa 17 hari - tewas mudah 0-4 kepada tuan rumah. Sungguhpun mengakhiri musim di tempat keenam namun United di bawah pengurus Tommy Docherty cemerlang dalam Piala FA apabila menewaskan musuh tradisi Liverpool 2-1 pada perlawanan akhir pada 21 Mei 1977 di Wembley.


3. QPR vs Manchester United 2-2, 11 Jan 1989, Ulangan Pusingan ke-3 Piala FA, Loftus Road.

Brian McClair
     Perlawanan pertama pusingan ketiga Piala FA berakhir dengan tanpa jaringan di Old Trafford. Kedua pasukan bertemu dalam liga pada perlawanan pertama musim dengan keputusan sama 0-0. Ini bermakna masing-masing mempunyai kekuatan sama rata setiap kali pertemuan.

     Perlawanan ulangan di Loftus Road menyaksikan sekali lagi, walaupun empat gol dijaringkan namun tidak dapat memisahkan kedua pasukan. Ia berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan gol-gol United dijaringkan Gill dan Graham. Ini menyebabkan perlawanan ulangan kedua terpaksa diadakan namun kali ini di Old Trafford. Nasib menyebelahi  tuan rumah apabila layak ke pusingan keempat dengan menundukkan QPR 3-0 hasil dua jaringan Brian McClair dan Bryan Robson.


2. Manchester United vs QPR 1-4, 01 Jan 1992, Liga Divisyen Satu, Old Trafford.

United muncul juara Piala Liga 1992
     Dengan hanya satu kekalahan dalam 21 perlawanan pertama liga, dengan perlawanan terakhir seri 1-1 dengan pesaing gelaran Leeds di Elland Road, United pastinya mahu meneruskan rekod cemerlang memasuki tahun baru. Tuan rumah menanti kunjungan QPR di Old Trafford.

     Namun ia tidak seperti diharapkan apabila United tewas mengejut 1-4 kepada QPR dengan gol saguhati tuan rumah dijaringkan Brian McClair. Sungguhpun hanya mencatat tiga kekalahan untuk baki perlawanan liga selepas itu, namun dengan sembilan keputusan seri membolehkan Leeds mengatasi United untuk bergelar juara liga dengan beza empat mata.

     Musim ini United beraksi cemerlang dalam Piala Liga apabila menewaskan Nottingham Forest 1-0 pada perlawanan akhir untuk trofi kedua selepas European Super Cup.


1. QPR vs Manchester United 2-3, 05 Feb 1994, Liga Perdana, Loftus Road.

Eric Cantona
     Perlawanan liga pertama di Old Trafford berkesudahan 2-1 buat United, dan menjelang perlawanan di Loftus Road, United hanya tewas sekali dalam perlawanan liga iaitu pada 11 September kepada Chelsea. Permainan hampir sama rata kekuatan kedua pasukan namun United berjaya mengatasi tuan rumah dengan jaringan 3-2. Gol-gol United dijaringkan Cantona, Giggs dan Kanchelskis.

     Musim ini juga amat bersejarah di mana United merangkul kejayaan berganda, juara liga dan Piala FA. United juga layak ke perlawanan akhir Piala Liga namun ditewaskan Aston Villa 1-3 dan sekaligus menafikan kejayaan treble.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...