Friday, December 16, 2011

Undian Europa League - Siapa lawan Manchester United di pusingan seterusnya?.


      Setelah tersingkir daripada kejohanan utama Eropah iaitu Champions League, Manchester United bersama Manchester City dan Stoke bakal mewakili England dalam Europa League, kejohanan kedua bolasepak Eropah.

     Kesemua 32 pasukan yang layak dibahagikan kepada dua kumpulan menjelang undian dengan 12 pasukan juara kumpulan menjadi pilihan utama sebaliknya buat naib juara kumpulan. Lapan pasukan daripada tempat ketiga Champions League juga dibahagi dua dengan empat pasukan terbaik dalam kumpulan sebelum ini menjadi pasukan pilihan dan baki empat pasukan adalah sebaliknya.

     Kelab daripada negara yang sama tidak boleh diundi bersama, begitu juga pemenang dan tempat kedua kumpulan yang sama dalam peringkat sebelum ini. Perlawanan akan diadakan secara timbal balik. Pasukan bukan pilihan akan diundi terlebih dahulu diikuti lawan masing-masing, di mana mereka akan menjadi tuan rumah pada perlawanan pertama.

     Undian untuk peringkat seterusnya iaitu 16 pasukan juga diadakan serentak, dan di sini bermula peringkat di mana tiada pasukan pilihan dan bukan pilihan. Ini sekaligus memberi kemungkinan dua kelab Manchester boleh bertemu sekiranya masing-masing berjaya melepasi halangan sebelumnya. Perlawanan peringkat 32 pasukan akan berlangsung pada 16 dan 23 Februari manakala peringkat 16 pasukan pada 8 dan 15 Mac.

     Pasukan Sir Alex Ferguson mempunyai kemungkinan dipertemukan dengan salah satu daripada 15 kelab apabila undian pusingan 32 pasukan dan 16 pasukan dibuat di Nyon, Switzerland.

     Antara lawan yang mungkin berdepan United dalam pusingan 32 pasukan adalah: Trabzonspor (Turki), Ajax (Belanda), Porto (Portugal), Viktoria Plzen (Czech), Hannover 96 (Jerman), Legia Warsaw (Poland), Lazio (Itali), Red Bull Salzburg (Austria), Steaua Bucharest (Romania), Wisla Krakow (Poland), Lokomotiv Moscow (Rusia), Rubin Kazan (Rusia), AZ Alkmaar (Belanda), Braga (Portugal) dan Udinese (Itali).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...