Tuesday, January 31, 2012

Did you know? - Empat pemain Manchester United membuat penampilan pertama menentang Stoke.

     Menjelang pertemuan Manchester United dan Stoke City awal pagi ini kita imbas rekod menarik kedua pasukan. Hanya empat pemain membuat penampilan pertama buat United ketika menentang Stoke.    Sementara itu terdapat dua pemain berjaya mencatat hatrik atau lebih ketika kedua pasukan bertemu.

PENAMPILAN PERTAMA.

1. Joe Cassidy, 31 Mac 1893, Liga Divisyen Satu, North Road.

     Dengan masih menggunakan nama Newton Heath, musim ini mereka bergelut dalam saingan liga dengan hanya mencatatkan satu kemenangan daripada 10 perlawanan pertama liga, iaitu ketika membelasah Wolves 10-1 di laman sendiri. Joe Cassidy yang berpindah daripada Blythe ke Newton Heath diturunkan pada empat perlawanan terakhir liga bermula dengan pertemuan dengan Stoke City di North Road. Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak tuan rumah.

     Pada penghujung musim Newton Heath berada di kedudukan tercorot liga dan disebabkan tiada sistem penyingkiran pasukan seperti sekarang, Test Match diadakan antara pasukan terbawah Divisyen Satu dengan pasukan teratas Divisyen Dua. Newton Heath bertemu Birmingham City dalam perlawanan tersebut dan selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama, Newton Heath menang 5-2 pada perlawanan kedua dengan Cassidy menyumbang satu gol.



2. Alan Gowling, 30 Mac 1968, Liga Divisyen Satu, Victoria Ground.

     Sebagai penyandang juara liga musim sebelumnya, United bermula baik musim ini dengan hanya mencatat dua kekalahan daripada 15 perlawanan untuk semua kejohanan. Mereka juga dalam masa yang sama menumpukan kejohanan Piala Eropah yang disertai atas tiket juara England.

     Tiga hari sebelum pertemuan dengan Stoke City, United dimalukan seteru setempat City apabila tewas 1-3 di Old Trafford. Sungguhpun tanpa khidmat Denis Law untuk perlawanan di Victoria Ground, United berjaya menewaskan tuan rumah dengan jaringan 4-2. Alan Gowling tidak mungkin melupakan perlawanan pertamanya apabila berjaya menyumbangkan satu gol.

     Walaupun hanya sekadar menjadi naib juara liga dua mata di belakang City, namun musim ini paling masyhur dalam sejarah apabila United yang muncul juara Eropah selepas menewaskan Benfica 4-1 di Wembley dan kelab pertama England yang berbuat demikian.


3. Peter Fletcher, 14 Apr 1973, Liga Divisyen Satu, Victoria Ground.

     Setelah tewas pada pertemuan pertama liga di Old Trafford yang berkesudahan 2-0 memihak kepada Stoke, United berkunjung ke Victoria Ground dengan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir liga. Tanpa khidmat George Best dan Denis Law United dijangka sukar berdepan tuan rumah manakala Peter Fletcher membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian.

     Sungguhpun begitu United berjaya mengekang tuan rumah apabila mencatat keputusan seri 2-2 dengan gol dijaringkan oleh Lou Macari dan Willie Morgan. Dengan baki empat perlawanan liga musim itu, United hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dan menduduki tangga ke 18 dengan Liverpool muncul juara liga.


4. Gary Birtles, 22 Okt 1980, Liga Divisyen Satu, Victoria Ground.

     Menjelang perlawanan liga di Stoke City, sekali lagi United berada dalam kedudukan goyah apabila mencatatkan lapan keputusan seri daripada 12 perlawanan pertama liga. Gary Birtles membuat penampilan pertama pada perlawanan ini.

     Joe Jordan dan Lou Macari memastikan mata kemenangan berharga buat United apabila dua gol mereka menewaskan tuan rumah dengan keputusan 2-1. Jordan muncul penjaring terbanyak United dengan 15 gol liga namun hanya mampu meletakkan United di tempat kelapan musim itu.


HATRIK ATAU LEBIH.

1. Jack Rowley, 08 Sep 1951, Liga Divisyen Satu, Old Trafford - 3 gol.

     Permulaan baik musim dengan hanya satu kekalahan daripada enam perlawanan dan menjaringkan 16 gol liga, United menanti kehadiran Stoke di Old Trafford. Kelebihan sudah pasti memihak kepada tuan rumah.

     Jack Rowley menjaringkan hatrik manakala Stuart Pearson dengan satu gol untuk melengkapkan keputusan perlawanan 4-0. Rowley meneruskan prestasi jaringan beliau apabila muncul penjaring terbanyak United dengan 30 gol liga. Musim ini United muncul juara liga sejak musim 1910/11, empat mata di hadapan Tottenham.



2. Denis Law, 07 Dis 1963, Liga Divisyen Satu, Old Trafford - 4 gol.

     Empat hari sebelumnya United tewas 0-2 kepada Tottenham di White Hart Lane dalam kejohanan European Cup Winners' Cup. Stoke City adalah lawan seterusnya dalam liga dan United perlu bangkit daripada kekalahan tersebut. Denis Law muncul wira apabila menjaringkan empat gol sementara David Herd dengan satu gol untuk keputusan akhir 5-2.

     Tiga hari berikutnya Tottenham tiba di Old Trafford untuk perlawanan kedua dan United berjaya menewaskan kelab London itu dengan jaringan 4-1 menjadikan agregat kemenangan 4-3. Pada penghujung musim United berkedudukan naib juara liga di belakang Liverpool dengan hanya empat mata.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...