Sunday, January 22, 2012

Top 5 - Kemenangan klasik Manchester United di gelanggang Arsenal.

     Menjelang pertemuan Manchester United dan Arsenal hujung minggu ini kita imbas rekod kemenangan United di laman The Gunners dalam perlawanan liga. Dalam sejarah liga, kedua pasukan telah bertemu sebanyak 92 kali di gelanggang Arsenal, bermula di Manor Field dari tahun 1894 hingga 1913, diikuti di Highbury dari tahun 1913 hingga 2006 dan terkini di Emirates Stadium.

     United mencatatkan 23 kemenangan dan 52 kekalahan, manakala baki 17 perlawanan berakhir dengan keputusan seri, juga melibatkan 108 gol dijaringkan manakala 179 gol bolos. Kita imbas top 5 kemenangan klasik perlawanan liga United di gelanggang Arsenal .

5. Arsenal vs Manchester United 1-2, 01 Sep 1910, Liga Divisyen Satu, Manor Field.

Harold Halse
     Ini adalah perlawanan pertama untuk musim 1910/11, dengan United pada musim sebelumnya menduduki tempat kelima liga berdepan dengan tuan rumah Arsenal yang terselamat daripada tersingkir ke Divisyen Dua di tangga ke 18. United di bawah kendalian Ernest Mangnall mahu bermula dengan baik musim ini.

     Harold Halse dan Enoch West masing-masing menjaringkan satu gol buat United untuk menewaskan tuan rumah dengan keputusan 2-1. Permulaan yang baik ini berjaya memastikan United akhirnya memintas juara bertahan musim lalu Aston Villa untuk muncul juara liga dengan hanya satu mata di depan. Ini merupakan gelaran liga kedua United selepas musim 1907/08.



4. Arsenal vs Manchester United 2-3, 28 Nov 1964, Liga Divisyen Satu, Highbury.

Denis Law
     Setelah terlepas gelaran liga kepada Liverpool dengan perbezaan empat mata pada musim sebelumnya, United mencatat 13 kemenangan daripada 19 perlawanan musim ini termasuk mengalahkan juara bertahan liga Liverpool 2-0 di Anfield. Menjelang perlawanan menentang Arsenal, pasukan dari Old Trafford itu pastinya lebih bersemangat selepas mengalahkan Blackburn Rover 3-0 seminggu sebelumnya.

     Sungguhpun menerima saingan sengit daripada tuan rumah namun United yang diperkuatkan dengan tiga pemain utama Denis Law, George Best dan Bobby Charlton berjaya memenangi perlawanan dengan jaringan 3-2. Law menjaringkan dua gol manakala John Connelly dengan satu gol. Law muncul penjaring terbanyak musim ini dengan 39 gol dalam semua kejohanan manakala United merangkul kejuaraan liga menewaskan Leeds dengan perbezaan gol.


3. Arsenal vs Manchester United 1-3, 31 Jan 2010, Liga Perdana, Emirates Stadium.

     Manchester United menguasai Arsenal di stadium Emirates untuk mengekalkan tekanan kepada pendahulu liga Chelsea - dan mendedahkan kelemahan pasukan Arsene Wenger sekaligus meranapkan harapan gelaran liga kelab London itu.

     Pasukan Sir Alex Ferguson mempamerkan aksi menakjubkan dengan counter-attack yang hebat, diinspirasi oleh kecemerlangan Wayne Rooney dan Nani. Wenger sebelum itu telah menggariskan betapa pentingnya pertemuan dengan United dalam konteks perebutan merangkul gelaran liga, dan apabila wisel penamat dibunyikan beliau melihat harapan itu berkecai sama sekali.

     United hanya satu mata di belakang Chelsea walaupun bermain lebih satu perlawanan, namun cara kemenangan ini dicapai pastinya memberikan mesej bahawa tiada siapa akan merasa mudah untuk merampas gelaran liga daripada meninggalkan Old Trafford.


2. Arsenal vs Manchester United 2-4, 01 Feb 2005, Liga Perdana, Highbury.

     Manchester United melonjak ke tangga kedua liga selepas melengkapkan kemenangan double ke atas Arsenal musim ini.

     Patrick Vieira menanduk masuk gol pendahuluan Arsenal daripada sepakan penjuru sebelum Ryan Giggs menyamakan kedudukan hasil gerakan satu dua dengan Wayne Rooney. Dennis Bergkamp memastikan tuan rumah kembali di depan sebelum dua gol Cristiano Ronaldo dan sepakan chip John O'Shea mengakhiri rekod tanpa kalah Arsenal di laman sendiri.

     Mikael Silvestre dibuang padang - dengan Vieira dan Roy Keane terpaksa dipisahkan ketika di dalam terowong. Pengadil Graham Poll terpaksa campur tangan untuk menenangkan kedua kapten sebelum para pemain masuk ke padang.

1. Arsenal vs Manchester United 4-5, 01 Feb 1958, Liga Divisyen Satu, Highbury.

     Manchester United yang dibarisi Busby Babes pada musim ini disebut-sebut untuk dengan mudah merangkul gelaran juara liga sekali lagi selepas musim sebelumnya muncul juara dengan purata umur pasukan 21 tahun.     Perlawanan pertama liga dengan Arsenal yang diadakan di Old Trafford pada 21 Sep 1957 memihak kepada tuan rumah dengan jaringan 4-2.

     Minggu sebelumnya dalam liga United membelasah Bolton 7-2 dan juga mengatasi Ipswich Town 2-0 pada pusingan keempat Piala FA. Dengan perlawanan kedua dengan suku akhir Piala Eropah menentang Red Star Belgrade menanti empat hari berikutnya United berjaya menewaskan Arsenal dalam perlawanan yang dianggap antara perlawanan klasik dalam sejarah.

     Sungguhpun pada separuh masa pertama United selesa mendahului dengan 3-0 namun Arsenal bangkit untuk keputusan akhir 5-4. Tommy Taylor menjaringkan dua gol manakala masing-masing satu gol daripada Bobby Charlton, Dennis Viollet dan Duncan Edwards. Perlawanan ini juga merupakan perlawanan terakhir Busby Babes di England apabila Tragedi Munich menimpa ketika dalam perjalanan pulang daripada perlawanan di Yugoslavia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...