Wednesday, February 15, 2012

Blast from the Past - Rekod Manchester United menentang kelab dari Belanda.

     Manchester United diundi bertemu lawan dari Belanda iaitu Ajax Amsterdam pada Pusingan 32 pasukan Europa League musim ini. Kedua pasukan hanya pernah bertemu dua kali pada saingan kejohanan yang sama (dahulunya Piala UEFA) pada musim 1976/77 dan United mengatasi Ajax dengan agregat 2-1 daripada dua perlawanan tersebut. Sungguhpun layak ke pusingan seterusnya laluan United terkandas apabila tewas kepada Juventus dengan agregat 1-3.

     Sepanjang sejarah saingan di peringkat Eropah, United hanya bertemu dengan empat pasukan daripada Belanda dan mencatat enam kemenangan daripada 10 perlawanan disamping menjaringkan 17 gol. Kita imbas rekod perlawanan United dengan empat pasukan tersebut.

1. Willem II Tilburg, Pusingan Pertama Cup Winners Cup, 1963/64.

     Kedua pasukan ditemukan dalam kejohanan Cup Winners Cup dengan United layak atas tiket juara Piala FA tahun 1963. Perlawanan pertama diadakan di Feyenoord Stadion dan berakhir dengan seri 1-1.

     Perlawanan kedua di Old Trafford menyaksikan tuan rumah membelasah pelawat dengan jaringan 6-1 sekaligus menang dengan agregat 7-2. Denis Law muncul wira apabila mencatat hatrik pada perlawanan itu.

     United selepas itu mengenepikan saingan liga Tottenham untuk layak ke suku akhir namun disingkirkan Sporting Lisbon dengan agregat 6-4.


2. Ajax Amsterdam, Pusingan Pertama Piala UEFA, 1976/77.

     Tidak banyak perlu diperkatakan tentang pasukan Ajax yang memenangi Piala Eropah (sekarang Champions League) tiga kali berturut-turut dari tahun 1971 hingga 1973. Mereka turun pada perlawanan pertama yang berlangsung di Olympisch Stadion dengan dipenuhi 30 ribu penonton sebagai pilihan untuk menang perlawanan tersebut. Ia nyata menjadi kenyataan apabila mereka menang 1-0.

     Perlawanan timbal balik di Old Trafford diadakan dua minggu selepas itu dan Ajax hanya memerlukan keputusan seri untuk layak, Namun United mempunyai idea berbeza apabila menewaskan pelawat dengan jaringan 2-0 hasil gol Lou Macari dan Sammy Mcllroy. Laluan United bagaimanapun disekat oleh Juventus pada peringkat berikutnya.


3. Feyenoord, Peringkat Kumpulan Champions League, 1997/98.

     Selepas dikecewakan juara sebenar Borussia Dortmund di peringkat separuh akhir musim sebelumnya United diletakkan bersama Feyenoord, Juventus dan Kosice pada peringkat kumpulan Champions League musim ini. Perlawanan pertama dengan Feyenoord di Old Trafford berkesudahan 2-1 memihak tuan rumah.

     Perlawanan kedua pada 05 November 1997 menyaksikan United berkunjung ke Feyenoord sebagai pendahulu kumpulan dan nyata terlalu kuat buat tuan rumah apabila dibenam 3-0 oleh United. Andy Cole menjaringkan hatrik pada perlawanan itu. Laluan United kali ini terkandas pada peringkat suku akhir setelah tewas dengan agregat 2-0 di tangan Monaco.


4. PSV Eindhoven, Pusingan Kedua Piala UEFA, 1984/85 & Peringkat Kumpulan Champions League, 2000/01.

     United bertemu PSV dalam dua kejohanan Eropah dengan United hanya tewas sekali daripada empat perlawanan. Dalam saingan Piala UEFA setelah terikat tanpa jaringan di Philipstadion, United menang tipis 1-0 di Old Trafford menerusi jaringan Gordon Strachan.

     Selepas menewaskan lawan dari Scotland iaitu Dundee United pada pusingan ketiga, United terkandas pada peringkat suku akhir apabila kelab Hungary Videoton mara ke peringkat separuh akhir selepas menang penentuan penalti 5-4.

     Pada saingan Champions League pula United diundi dalam satu kumpulan bersama PSV, Anderlecht dan Dynamo Kiev. Perlawanan pertama, United tewas 1-3 manakala perlawanan di Old Trafford juga berakhir dengan jaringan yang sama namun memihak kepada tuan rumah.  United bagaimanapun layak hingga ke peringkat suku akhir untuk berdepan gergasi Jerman Bayern Munich, namun United tersingkir apabila tewas agregat 3-1 kepada juara sebenar musim itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...