Thursday, February 9, 2012

Park Ji Sung mahu teruskan kecemerlangan di Manchester United.

     Park Ji Sung telah menyatakan rasa bangga beliau selepas bermain buat kali ke 200 untuk Manchester United ketika perlawanan dramatik di Chelsea, namun pemain Korea itu menegaskan beliau tetap fokus untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

     Kemasukan Park sebagai pemain gantian pada minit ke 86 di Stamford Bridge mengesahkan satu lagi rekod buat pemain Asia itu dengan United bangkit untuk mendapatkan satu mata berharga selepas pada satu ketika ketinggalan dengan 3-0.

     Pemain 30 tahun itu merasakan dalam mencapai kejayaan ini beliau telah membuktikan kepada semua bahawa beliau berada di Old Trafford bukan sekadar sebagai alat melariskan penjualan jersi atau cenderamata dan beliau masih dahagakan kejayaan di masa depan.

     "Saya sangat gembira ketika ini. Sesetengah pihak ada menyatakan perkara itu (saya di sini hanya untuk melariskan penjualan jersi) apabila saya tiba di sini. Sekarang tiada siapa berkata demikian," beliau memberitahu ManUtd.com.

     "Sukar untuk memilih perlawanan kegemaran saya," tambah Park. "Saya mempunyai banyak kenangan manis, terutama ketika saya menjulang trofi. Ia perasaan yang hebat. Inilah sebabnya pemain Manchester United mahu menjulang trofi demi trofi.

     "Suasana di kelab ini adalah apabila anda mencapai satu tahap, terdapat keazaman untuk mencapai tahap atau kejayaan seterusnya. Ini adalah mentaliti. Begitu juga saya, walau sudah bermain 200 kali namun sekarang saya mahu 300."

     Walaupun Park terhutang budi atas sokongan yang diterima beliau daripada rakan sepasukan, staf dan para penyokong sepanjang enam setengah tahun di Old Trafford, beliau tidak lupa menyebut Sir Alex adalah pengaruh terbesar.

     "Sebelum saya tiba di sini, saya percaya saya mampu (beraksi di tahap tertinggi) namun saya kurang pasti. Namun pengurus menaruh kepercayaan kepada saya," jelas Park.

     "Beliau memberi galakkan kepada saya untuk berdepan dengan tahap-tahap berbeza (dalam bolasepak). Beliau memberitahu saya untuk berjuang. Itu memberikan perbezaan besar buat saya menyesuaikan diri dengan bolasepak Inggeris."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...