Saturday, February 11, 2012

Top 5 - Kemenangan terkenal Manchester United dalam perlawanan liga ke atas Liverpool di Old Trafford.

     Menjelang pertemuan Manchester United dan seteru tradisi Liverpool hujung minggu ini, kita imbas rekod menarik perlawanan kedua pasukan. Dalam 157 perlawanan liga setakat ini United mencatat 60 kemenangan dengan 38 daripadanya di Old Trafford.

     United juga menjaringkan 130 gol dan hanya bolos 72 daripada 78 perlawanan di tempat sendiri. Kita lihat top 5 kemenangan penting dan bermakna buat United dalam perlawanan liga ke atas lawan dari Merseyside itu di Old Trafford.


5. Manchester United vs Liverpool 6-1, 05 Mei 1928.

     Ini merupakan pertemuan terakhir liga musim 1927/28 dan United perlu menewaskan seteru tradisi mereka Liverpool untuk memastikan tidak tersingkir ke Divisyen Dua. Pertemuan pertama kedua pasukan pada bulan Disember sebelumnya menyaksikan ia memihak kepada pasukan dari Anfield dengan kemenangan 2-0. Musim ini juga menyaksikan United melakar rekod buruk dalam liga apabila dibelasah 7-1 oleh Newcastle United di Old Trafford pada permulaan musim.

     Namun berbekalkan kemenangan berharga 1-0 ke atas Arsenal di Highbury seminggu sebelumnya, United akhirnya berjaya menundukkan Liverpool dengan jaringan besar 6-1. Joe Spence (gambar) menjaringkan hatrik sementara Bill Rawlings dengan dua gol. Jimmy Hanson melengkapkan keputusan buat United dan sekaligus meletakkan United kekal dalam Divisyen Satu.  Tujuh pasukan berkongsi 39 mata termasuk United dan Liverpool, dan kedudukan liga hanya dibezakan oleh jumlah jaringan, manakala Tottenham (38 mata) dan Middlesbrough (37 mata) keduanya tersingkir ke Divisyen Dua.
    

4. Manchester United vs Liverpool 4-0, 12 Apr 1952.

     Musim di mana United yang di bawah kendalian pengurus Sir Matt Busby menjadi pilihan untuk bergelar juara liga. Selepas tersingkir daripada Piala FA di tangan Hull City, United tiada pilihan lain selain menumpukan kepada saingan liga. Kedua pasukan hanya mencatat keputusan seri 0-0 pada perlawanan pertama di Anfield dengan penampilan pertama dua pemain Busby Babes iaitu Roger Byrne (gambar) dan Jackie Blanchflower.

     Pada perlawanan di Old Trafford Byrne muncul hero apabila menjaringkan dua gol manakala dua lagi gol masing-masing dijaringkan John Downie dan Jack Rowley. Pada perlawanan terakhir liga menentang Arsenal di laman sendiri, United membelasah kelab London itu dengan jaringan 6-1 sekaligus muncul juara liga empat mata di depan musuh Arsenal iaitu Tottenham.


3. Manchester United vs Liverpool 3-0, 24 Apr 1965.

     Selepas menang 2-0 di Anfield pada pertemuan pertama liga, United mahu mencatat kejayaan double  ke atas seteru mereka Liverpool. Dengan rekod empat kemenangan liga berturut-turut selepas disingkirkan Leeds United pada separuh akhir Piala FA, tuan rumah berada di laluan terbaik.

     Dengan dibarisi Bobby Charlton, Denis Law (gambar) dan George Best, United berjaya menewaskan pasukan Merseyside itu dengan jaringan 3-0. Law menyumbang dua gol manakala John Connelly dengan satu gol. United muncul juara liga mengatasi Leeds dengan perbezaan gol manakala Liverpool di tangga ke tujuh.


2. Manchester United vs Liverpool 4-0, 05 Apr 2003.

     Manchester United kembali ke puncak liga - walau untuk beberapa jam - apabila mencatat kemenangan berharga ke atas seteru tradisi Liverpool. Penyerang prolifik Ruud van Nistelrooy meletakkan tuan rumah di depan menerusi sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan oleh kapten Liverpool Sami Hyypia. Hyypia dibuang padang atas kesalahan itu dan Liverpool terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk baki perlawanan.

     Persembahan yang dipamerkan United bukanlah yang terbaik namun lebih kepada ketidak konsisten mutu pengadilan oleh Mike Riley terutama untuk gol kedua. Riley menghadiahkan satu lagi penalti selepas pemain yang menggantikan Hyypia Igor Biscan melakukan kesalahan ke atas Paul Scholes, yang sekali lagi disempurnakan oleh Van Nistelrooy.

     Ryan Giggs menambah gol ketiga yang juga jaringan liga pertamanya di Old Trafford dalam tempoh dua tahun sebelum Ole Gunnar Solskjaer melengkapkan keputusan perlawanan yang menyaksikan United memintas Arsenal dengan satu mata. Pasukan London itu hanya akan turun menentang Aston Villa beberapa jam kemudian. United muncul juara liga dengan lima mata di depan Arsenal walau satu ketika dilihat Arsenal akan mempertahankan kejuaraan.


1. Manchester United vs Liverpool 3-2, 19 Sep 2010.

     Aksi cemerlang Dimitar Berbatov diteruskan apabila mencatat hatrik untuk memberikan kemenangan kepada Manchester United ke atas Liverpool di Old Trafford. Penyerang Bulgaria itu menjaringkan dua gol pada kedua separuh masa untuk meletakkan pasukan Sir Alex Ferguson mengawal sepenuhnya permainan.

     Liverpool diberikan harapan oleh kepincangan pertahanan United apabila Steven Gerrard menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit pada pertengahan separuh masa kedua, pertama menerusi sepakan penalti dan kedua menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti. Ini menjadikan pasukan Merseysider dalam laluan untuk megutip satu mata.

     Keazaman Berbatov, walaubagaimanapun, menafikan harapan Liverpool apabila menjaringkan gol ketiga beliau dan United hasil tandukan daripada hantaran John O'Shea dengan perlawanan berbaki enam minit sekaligus mengesahkan kemenangan. Beliau menjadi pemain pertama selepas Stan Pearson menjaringkan hatrik menentang Liverpool pada 11 Sep 1946 yang ketika itu perlawanan diadakan di Maine Road. Penghujung musim menyaksikan United muncul juara liga dan mengatasi rekod Liverpool untuk kali ke 19.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...