Tuesday, March 20, 2012

Alex Ferguson ramal perebutan takhta liga hingga perlawanan terakhir.

     Pengurus Manchester United Sir Alex Ferguson menegaskan beliau meramalkan perebutan takhta liga musim ini pastinya sengit dan mungkin ditentukan pada perlawanan terakhir, sungguhpun pasukannya berada selesa empat mata mendahului carta liga.

     United membelasah Wolves 5-0 Ahad lalu yang menyaksikan juara bertahan itu menjarakkan diri mereka di depan pencabar terdekat Manchester City, yang akan berdepan Chelsea pada Rabu ini.


     Dengan pertemuan derby antara kedua pasukan hanya dijadualkan pada 30 April nanti di Etihad Stadium, Ferguson menjangkakan persaingan untuk kejuaraan liga akan berlanjutan hingga ke perlawanan terakhir musim.
    
     "Saya jangka ia akan sengit (hingga perlawanan terakhir), sentiasa harapkan yang terbaik dan jangkakan sebaliknya," beliau memberitahu Sky Sports.

     "Ada baki sembilan perlawanan sekarang, perlawanan akan datang dan pergi satu persatu dan diharapkan kami mampu capai apa yang kami mahu capai.

     "Apa yang jelas hari ini adalah perbezaan jaringan dikurangkan kepada tiga sekarang dan ia mungkin memberikan perbezaan besar pada penghujung musim."

     Pengurus 70 tahun itu juga lega setelah mendapat tiga mata berharga dari Molineux, tempat di mana pasukannya bergelut selepas kalah dua kali daripada tiga kunjungan. Namun, sungguhpun keputusan jaringan amat membanggakan, beliau menegaskan pasukannya masih di bawah prestasi terbaik.

      "Sudah pasti, tiga kali kami bermain di sini (Wolves) kami tewas dua kali, dan kami bernasib baik kali ini," tambah beliau.

     "Ia (prestasi permainan) memuaskan, saya tidak fikir ia sesuatu yang istimewa. Saya rasa sebagaimana selalu Wolves memberikan kesukaran buat anda, ia aksi yang baik dan memuaskan.

     "Amat sukar buat mereka bermain dengan 10 pemain, mereka jujur dan komited dan terus mengasak, namun kelebihan 3-0 terlalu sukar buat mereka."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...