Thursday, March 15, 2012

Blast from the Past - Kali terakhir Manchester United berada di Athletic Bilbao.

     Menjelang pertemuan kedua Manchester United dengan Athletic Bilbao kita lihat kembali rekod pertemuan kedua pasukan. Mereka hanya bertemu sekali iaitu pada musim 1956/57 di peringkat suku akhir Piala Eropah.

     Walaubagaimanapun United berjaya mengatasi kelab Sepanyol itu untuk mara ke separuh akhir. Kita imbas perlawanan pertama antara kedua pasukan yang diadakan di Estadio San Mames pada 16 Januari 1957.

     Selepas mengatasi Borrussia Dortmund pada Pusingan Pertama dengan kemenangan agregat 3-2 pada penghujung November 1956, Manchester United perlu menunggu selama lapan minggu untuk berdepan dengan lawan peringkat Piala Eropah berikutnya.

     Mereka telah diundi bertemu Athletico Bilbao pada peringkat suku akhir dan perlawanan pertama berlangsung di Bilbao manakala di Manchester pada 06 Februari 1957. Demam saingan Eropah mula memberi kesan kepada bandar Manchester dan semasa inilah, lewat 1956, ungkapan keramat 'Treble' mula kedengaran. Difahamkan wartawan Tom Jackson daripada Manchester Evening News adalah orang pertama menulis kebarangkalian United melakukan perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

     United bertolak dari Manchester ke Bilbao untuk tiga jam perjalanan pada pagi Isnin yang sangat sejuk 14 Januari 1957. Duncan Edwards, yang tidak tahan dengan perjalanan jauh jatuh sakit sepanjang penerbangan. Ketika pesawat memasuki Sepanyol cuaca bertukar lebih buruk dan ribut salji melanda sekitar Bilbao. Juruterbang menghadapi kesukaran untuk mendarat namun akhirnya berjaya tiba.

     Para penumpang tidak dapat turun dengan secepat mungkin apabila sebaik pintu dibuka mereka disambut dengan tiupan angin berais menuju ke dalam kabin pesawat. Salji tebal menyelimuti kawasan lapangan terbang. Kesemua pemain menjangkakan cuaca panas namun dikecewakan dengan keadaan itu. Eddie Colman keluar dan sempat melihat persekitaran sebelum masuk dan berkata; "Caramba! Sama seperti Salford!"

     Edwards masih belum sembuh sehingga lewat petang Selasa dan pengurus Sir Matt Busby terpaksa menangguhkan pemilihan kesebelasan utama sehingga pagi hari berikutnya dengan harapan pertahanan itu sempat sembuh. Mujurlah pada pagi hari Rabu, Duncan mengisytiharkan dirinya cergas untuk bermain. Cuaca di luar masih dilanda salji tebal dan terdapat percanggahan pendapat samada permainan patut diteruskan. Permukaan padang diselaputi lumpur dan kebanyakkan kawasan atas padang terlalu lembut dan boleh menyebabkan kaki pemain tenggelam serta lumpur memasuki kasut.

Perlawanan Bilbao dan United diteruskan dalam salji.
     United mahu perlawanan diteruskan kerana mereka tidak mahu sebarang penangguhan disebabkan sekatan autokratik yang ditetapkan ke atas kelab oleh Football League - mereka tidak boleh lewat untuk kembali ke Manchester dan tidak sempat memenuhi jadual liga Sabtu berikutnya. Keputusan itu dipersetujui kedua kelab dan perlawanan diteruskan.
    
     Barisan pemain United; Wood; Foulkes and Byrne; Colman, Jones, and Edwards; Berry, Whelan, Taylor, Viollet dan Pegg. Sejumlah 60,000 penonton memenuhkan Estadio San Mames dan menempuh asakan salji yang turun sepanjang perlawanan. United jelas tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca, begitu juga tuan rumah. Namun mereka lebih bernasib baik dan mendapat kelebihan apabila mendahului 3-0 menjelang rehat.
    
     Busby tidak pernah panik semasa rehat separuh masa dan melakukan rutinnya seperti biasa dengan memberi semangat dan memberitahu para pemain yang mereka masih dalam permainan, terutama jika mereka mendapat gol awal pada masa kedua. Roger Byrne yang juga kapten pasukan bersama pemain lain masuk semula ke padang dengan penuh keazaman. United bermula baik dan menguasai permainan. Mereka berjaya memperolehi gol awal menerusi Tommy Taylor.
    
     Mereka terus mengasak pasukan Bilbao, dan tiada kejutan apabila Dennis Viollet berjaya menjaringkan gol kedua. Walaubagaimanapun, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu para pemain United mula keletihan. Bilbao mengambil kesempatan sepenuhnya dengan menjaringkan dua lagi gol untuk menjadikan kedudukan 5-2 memihak kepada mereka.
    
     Tiada siapa dapat membayangkan bahawa United mampu mengatasi defisit tiga gol ke atas Bilbao. Namun sebagaimana berlaku pada perlawanan Piala FA di Hartlepool, Billy Whelan muncul dengan jaringan penting. Dengan kesuntukkan masa, pemain Ireland itu membawa bola daripada tengah padang di bahagian kiri sayap walaupun beliau sebenarnya beraksi di posisi kanan sayap.
    
     Dengan pemain lain sudah kehilangan tenaga menuju minit-minit akhir perlawanan, Whelan sebaliknya berlari membawa bola menuju ke arah gol dan menewaskan beberapa pertahanan termasuk Jesus Garay, pertahan tengah Bilbao,sebelum merembat lencong bola menewaskan penjaga gol Carmello. 5-3, United berjaya meletakkan diri mereka dalam keadaan yang boleh di katakan punyai harapan. Billy Whelan dikerumuni rakan sepasukan selepas itu.
    
     Menyedari ketinggalan 5-3 lebih baik daripada 5-2, para pemain United mengintai peluang mereka pada perlawanan timbal balik di Old Trafford. Pagi berikutnya, Khamis 17 Januari, rombongan United dan media tiba di lapangan terbang Bilbao yang masih diselaputi salji. Anak kapal memberitahu terdapat masalah pada pesawat. Kapten penerbangan mengumumkan melainkan jika kesemua ais dan salji yang menyelaputi fuslaj pesawat dapat dibuang, maka amat mustahil untuk berlepas.

    
     Lapangan terbang tersebut mempunyai kemudahan yang terhad dan sekali lagi kebimbangan terlepas aksi liga Sabtu berikutnya menghantui para pegawai dan pemain United. Kapten kapal meminta sesiapa yang sukarela membantu membuang ais dan salji yang menyelimuti pesawat dan selepas 10 minit, pemain-pemain United termasuk wartawan media menyahut seruan dan membersihkan pesawat. Operasi tersebut mengambil masa empat jam untuk disiapkan dan sejurus kapten kapal berpuas hati pesawat berlepas ke Manchester.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...