Saturday, March 24, 2012

Did you know? - Musim 2011/12 punyai persamaan dengan musim 1967/68.

Manchester United musim 1967/68
     Musim ini tidak dapat dinafikan perebutan gelaran juara liga adalah antara dua pasukan Manchester. Manchester United dan Manchester City bersaing sengit kali ini. Ironinya kali terakhir kedua pasukan berada dalam situasi sekarang adalah 44 tahun lalu, musim 1967/68.

     Sebagaimana yang berlaku pada masa itu, kedua pasukan masing-masing mengekori antara satu sama lain menuju ke penghujung musim ini. Kita imbas kembali bagaimana City berjaya muncul juara di depan seteru jiran mereka dengan hanya perbezaan dua mata.

United bermula baik

     Persamaan 44 tahun lalu seperti sekarang United yang di bawah kendalian Sir Matt Busby adalah juara bertahan liga sementara City hanya menduduki tangga ke 14 liga musim sebelumnya. Namun United punyai komitmen tambahan di Eropah manakala City terikat hanya dengan kejohanan piala domestik.

     Perlawanan pertama musim United dikejutkan Everton apabila tewas 3-1 di Goodison Park. Namun mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan liga berikutnya termasuk menewaskan City 2-1 di Maine Road dan ini meletakkan mereka berada di depan City dengan lima mata (sistem lama pungutan mata; menang 2, seri 1).

     Pasukan City yang di urus bersama oleh Joe Mercer dan Malcolm Allison punyai nasib berbeza selepas seri dengan Liverpool pada perlawanan pertama mereka tewas dua perlawanan berikutnya di tempat  Southampton dan Stoke City (lawan City hujung minggu ini). Walaupun menang lima perlawanan berikutnya, namun laluan mereka tersekat dengan tiga kekalahan berturut-turut - termasuk United di laman sendiri, di Sunderland dan Arsenal di Highbury (lawan City 08 April ini).

Meneraju liga selepas Krismas

     Pada perlawanan Boxing Day United membenam Wolves 4-0 (lawan United minggu lalu) hasil jaringan dua gol George Best dan satu masing-masing oleh Bobby Charlton dan Brian Kidd (kini pembantu Roberto Mancini). Dengan hanya dua kekalahan menuju Krismas pasukan dari Old Trafford itu mendahului liga dengan 33 mata manakala City masih ketinggalan tiga mata di belakang.

     Walaubagaimanapun menjelang hujung Januari dengan komitmen Piala Eropah menjadi tumpuan, United disingkirkan Tottenham daripada saingan Piala FA sementara City walaupun melepasi pusingan ketiga termasuk kemenangan besar 7-0 ke atas Reading, mereka ditewaskan Leicester City pada pusingan keempat.

     Perbezaan besar dengan musim 2011/12, United cemerlang dalam saingan Eropah - musim ini United tersingkir daripada Champions League dan Europa League - dan selepas mengalahkan kelab Poland Gornik Zabrze di suku akhir, gergasi Sepanyol Real Madrid menanti di separuh akhir.

     Berlainan pula dengan City, dengan hanya fokus kepada perlawanan liga mereka mencatat rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan selepas tahun baru. Sebaliknya buat United mereka mengalami tiga kekalahan dan ini menyebabkan defisit mata dikurangkan kepada dua.

Title Decider I

Best beraksi menentang City di Old Trafford
     Pada 27 Mac 1968 fokus tertumpu kepada Manchester derby di Old Trafford yang dianggap perlawanan 'title decider' musim tersebut dengan berbaki 10 perlawanan. Walaupun United menurunkan gandingan 'Holy Trinity' (Denis Law, Best dan Charlton) namun mereka tewas mengejut kepada seteru setempat mereka dengan jaringan 3-1. Gol-gol City dijaringkan Colin Bell, George Heslop dan Francis Lee manakala gol saguhati United oleh Best.

     Pungutan mata kedua pasukan terikat pada 45 mata selepas perlawanan tersebut. Sembilan perlawanan menuju penamat musim United dilihat berhadapan dengan jadual perlawanan lebih sukar dengan kunjungan ke Stoke, Southampton dan West Brom menanti disamping bertemu musuh tradisi Liverpool di Old Trafford sementara City perlu bermain di Leicester, Chelsea, Wolves dan Tottenham.

     Kejutan daripada City apabila mereka hanya tewas hanya dua perlawanan - keduanya di tempat lawan Leicester dan Chelsea - tetapi mencatat kemenangan dalam semua perlawanan di Maine Road. Mereka juga berjaya menewaskan Tottenham 3-1 di White Hart Lane menuju perlawanan terakhir di St James' Park menentang Newcastle.

     Berbeza dengan United mereka tewas 2-1 kepada Liverpool di tempat sendiri dan mencatat keputusan seri mengecewakan di Southampton. Perlawanan separuh akhir Piala Eropah dengan Real Madrid di Old Trafford United berjaya menewaskan kelab Sepanyol itu 1-0. Namun tiga hari kemudian mereka tewas dengan jaringan besar 6-3 di West Brom. Seminggu kemudian United membelasah Newcastle 6-0 dengan Best menjaringkan hatrik sementara dua gol Kidd dan satu daripada David Sadler.   

Title Decider II

     Bahang perebutan gelaran liga sampai ke kemuncak pada perlawanan terakhir musim dengan United bertemu Sunderland (sama seperti musim ini hanya beza di Stadium of Light) di Old Trafford dan City bertemu Newcastle. Kedua pasukan terikat 56 mata hanya dipisahkan perbezaan gol - United 7 dan City 6. Maka untuk United mempertahankan gelaran liga mereka hanya perlu menyamai apa sahaja keputusan City.


                  Perlawanan terakhir musim 1967/68 antara United dan Sunderland di Old Trafford, persamaan?

     Akhirnya, dengan perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung empat hari kemudian di stadium Bernabeu masih dalam percaturan ditambah dengan kecederaan lutut Law, United terpaksa akur kepada jiran mereka. Sunderland mengejutkan United 2-1 manakala City menewaskan Magpies 4-3 dalam perlawanan penuh mendebarkan di St James's Park. City merangkul kejuaraan liga buat kali kedua dan terakhir dalam sejarah mereka selepas 1936/37, dua mata mengatasi United.

     Kecewa menyaksikan trofi Liga Divisyen Satu terlepas kepada seteru setempat mereka United berazam untuk tidak berakhir dengan tangan kosong. Menentang Real Madrid, sungguhpun ketinggalan 3-1 pada separuh masa mereka bangkit untuk seri 3-3 (agregat 4-3) dengan gol penyamaan dijaringkan pemain pertahanan Bill Foulkes yang terselamat Tragedi Munich 10 tahun sebelumnnya.

Juara Eropah 1968
     Dua minggu kemudian perlawanan akhir yang berlangsung di Wembley, United menewaskan Benfica 4-1 sekaligus memastikan sesuatu buat mereka musim ini sekaligus menjadi kelab England pertama memenangi trofi Piala Eropah.

* juara Eropah 1968

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...