Monday, April 2, 2012

Blast from the Past - Rekod perlawanan liga Manchester United di Ewood Park.

     Menjelang pertemuan Manchester United dan Blackburn Rovers di Ewood Park Isnin ini, kita imbas rekod United di tempat Rovers. United telah bermain sebanyak 48 kali dalam sejarah liga dan hanya menang 16 perlawanan, kalah 18 manakala 14 keputusan seri.

     Dalam sejarah Liga Perdana, untuk 17 musim (musim 1999/00 dan 2000/01 Rovers bermain di Divisyen Satu), United hanya mencatatkan enam kemenangan dengan kali terakhir pada 04 Okt 2008. Dengan baki empat kekalahan dan tujuh seri termasuk dua musim sebelum ini, amat jelas tugasan sukar menanti United di Ewood Park.

     Kita imbas kembali enam kemenangan United di Ewood Park sepanjang sejarah Liga Perdana


1. Musim 1994/95.

Blackburn 2-4 Manchester United, 23 Oktober 1994.

     United mendapat kemenangan berharga ke atas saingan gelaran liga mereka selepas pertemuan sengit di Ewood Park. Blackburn mendahului 1-0 menerusi Paul Warhurst selepas 13 minit sebelum keputusan kontroversi sejurus sebelum tamat separuh masa menyaksikan Henning Berg dibuang padang selepas mengasari Lee Sharpe dalam kotak penalti. Eric Cantona menyempurnakan penalti.

     Bermain dengan 10 pemain mereka bangkit pada awal masa kedua dengan tandukan Collin Hendry untuk kembali di depan. Ia walaubagaimanapun tidak bertahan lama sebelum Andrei Kanchelskis menjaringkan dua gol dan diikuti gol Mark Hughes melengkapkan keputusan jaringan.


2. Musim 1995/96.

Blackburn 1-2 Manchester United, 28 Ogos 1995.    

     Berkunjung ke juara bertahan selepas hanya tiga perlawanan musim baru bukanlah tugas mudah. Ryan Giggs kembali dalam kesebelasan utama dengan United mahu meneruskan kemenangan selepas dikejutkan Aston Villa, tewas 3-1 pada perlawanan pembukaan musim di Villa Park. Separuh masa pertama kedudukan masih terikat tanpa jaringan.

     Separuh masa kedua bersambung dengan United bermula garang dan menyaksikan percubaan awal Nicky Butt yang ditepis keluar Tim Flowers. Keadaan kucar-kacir di depan gawang Rovers diambil kesempatan Lee Sharpe untuk penyudah mudah hanya selepas dua minit bersambung. Walaupun Alan Shearer berjaya menyamakan kedudukan namun bermula daripada lontaran ke dalam Gary Neville, United akhirnya memperolehi gol kemenangan menerusi lob cantik David Beckham.


3. Musim 1996/97.

Blackburn 2-3 Manchester United, 12 April 1997.

     Pada awal April United berada tiga mata menerajui liga di depan pesaing Merseyside Liverpool. Dan selepas kalah mengejut 3-2 kepada Derby County di Old Trafford, United seterusnya bertemu Blackburn. United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Andy Cole pada minit ke 32 sebelum dua minit berselang Billy McKinlay menyamakan kedudukan buat tuan rumah. Sebelum tamat separuh masa Paul Scholes memastikan United kembali di depan.

     Perlawanan kembali bersambung namun kedua pasukan terutama United kental mempertahankan kelebihan. Namun dengan baki perlawanan hanya 10 minit Eric Cantona melebarkan jurang apabila menjaringkan gol ketiga sebelum Paul Warhurst menambah gol buat tuan rumah. Dengan keputusan ini United semakin selesa di persada liga menjelang pertemuan dengan Liverpool di Anfield minggu berikutnya.   


4. Musim 1997/98.

Blackburn 1-3 Manchester United, 06 April 1998.

     Setelah tewas 1-0 di Old Trafford kepada pencabar gelaran liga Arsenal, United perlu bangkit untuk meneruskan saingan. Berkunjung ke Ewood Park selepas kemenangan 2-0 ke atas Wimbledon, United memiliki kelebihan untuk mendapatkan tiga mata. Sebaliknya mereka lebih dahulu dikejutkan gol pembukaan Chris Sutton. Kedudukan kekal hingga rehat separuh masa.

     Nicky Butt menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada masa kedua dan nyata merubah perlawanan apabila pada minit ke 56 United menyamakan kedudukan melalui penyerang Andy Cole. Paul Scholes menggandakan jaringan pada minit ke 73 sebelum David Beckham melengkapkan keputusan 3-1 sebelum tamat perlawanan.


5. Musim 2006/07.

Blackburn 0-1 Manchester United, 11 November 2006.

     Manchester United mengekalkan kelebihan tiga mata di puncak liga dengan kemenangan mengagumkan di Ewood Park. Penyerang Louis Saha menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 64 hasil umpanan cantik Ryan Giggs bermula daripada hantaran John O'Shea.

     Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo, sebagaimana dijangka menjadi punca ancaman pintu gol tuan rumah dengan United menguasai 45 minit pertama. Rooney terlepas dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Namun Blackburn jarang sekali mengasak dan pelawat sepatutnya mampu mencipta kemenangan lebih besar.



6. Musim 2008/09.

Blackburn 0-2 Manchester United, 04 Oktober 2008.

     Gol Wes Brown dan Wayne Rooney membolehkan Manchester United mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Blackburn di Ewood Park.

     Brown menanduk masuk hasil hantaran Rooney, walaupun para pemain Blackburn mendakwa penjaga gol mereka Jason Brown dikasari sebelum itu oleh Nemanja Vidic.

     Rooney kemudiannya menjaringkan gol kedua hasil gerakan pantas Cristiano Ronaldo di sayap kanan. Tuan rumah jarang mengancam gol United dan Carlos Tevez dinafikan gol ketiga oleh tiang gol.   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...