Thursday, April 12, 2012

Top 5 - Kekalahan mengejut Manchester United dalam perlawanan liga di tempat lawan.

     Kekalahan mengejut Manchester United kepada Wigan semalam membuka harapan baru kepada pencabar terdekat Manchester City dalam usaha mereka menafikan gelaran liga musim ini kekal di Old Trafford. Rekod seratus peratus kemenangan United dalam 14 perlawanan sebelum ini lebur di DW Stadium.

     Pengurus Alex Ferguson mengakui tuan rumah Wigan berhak menang daripada aksi mantap yang dipamerkan. Pasukan beliau yang jauh berada di bawah kemampuan sebenar menurut beliau tidak berhak mendapat apa-apa daripada perlawanan. Kita imbas kekalahan mengejutkan United di gelanggang lawan dalam perlawanan liga.

5. Fulham vs Manchester United 2-0, 21 Mac 2009, Craven Cottage.

      Paul Scholes dan Wayne Rooney dibuang padang, dan harapan gelaran liga Manchester United menerima tamparan hebat di Craven Cottage. Scholes dilayangkan kad merah selepas 18 minit apabila menampan tandukan Bobby Zamora dengan tangannya di garisan gol dan Danny Murphy menyempurnakan sepakan penalti.

     Dengan United mencari gol penyamaan, Zoltan Gera menambah jaringan dengan kawalan dan penyudah hebat. Beberapa ketika selepas itu, Rooney membaling bola jauh daripada pemain Fulham yang mahu mengambil sepakan percuma dan menerima kad kuning kedua untuk melengkapkan hari malang United, dan kini dipisahkan hanya satu mata di puncak liga.

     Ini merupakan kejayaan bersejarah Fulham yang tidak pernah mengalahkan United di laman sendiri sejak 45 tahun lalu, sementara pelawat yang tewas 1-4 di Old Trafford kepada Liverpool minggu sebelumnya, buat pertama kali tewas dua perlawanan berturut-turut sejak 2005.


4. West Ham vs Manchester United 1-0, 17 Dis 2006, Upton Park.

     Kelebihan Manchester United di puncak liga dikurangkan kepada dua mata selepas pasukan Alan Curbishley mencatat kemenangan bersejarah dalam perlawanan pertama kendaliannya dengan West Ham.

     Nigel Reo-Coker dengan mudah menyumbat masuk bola lewat permainan untuk memberikan kemenangan kepada tuan rumah ke atas pasukan United yang beraksi hambar.

     Bobby Zamora terlepas beberapa peluang untuk Hammers sebelum cubaan Cristiano Ronaldo diselamatkan dan rembatan Ryan Giggs melambung tinggi. West Ham bagaimanapun agak goyah menuju penghujung perlawanan namun berjaya mengekalkan kedudukan perlawanan.


3. Bolton vs Manchester United 1-0, 24 Nov 2007, Reebok Stadium.

     Gary Megson mendapat tiga mata pertamanya sebagai pengurus Bolton dengan kemenangan tidak diduga ke atas Manchester United, terima kasih kepada jaringan tunggal Nicolas Anelka.

     Anelka menyudahkan sepakan percuma Ivan Campo selepas 11 minit. United yang dilihat hilang punca terus dikecewakan oleh aksi tangkas penjaga gol Jussi Jaaskelainen yang menafikan sepakan percuma Owen Hargreaves dan cubaan Carlos Tevez yang melencong jauh.

     Pengadil Mark Clattenburg mengarahkan pengurus United Sir Alex Ferguson ke bangku penonton selepas rehat berikutan komen beliau berkaitan keputusan pengadilan.


2. Norwich City vs Manchester United 2-0, 09 Apr 2005, Carrow Road.

     Norwich City meneruskan perjuangan untuk kekal dalam Liga Perdana dan sekaligus hampir memusnahkan harapan gelaran liga United selepas kemenangan mengejut di Carrow Road.

     Dean Ashton menanduk masuk gol pertama hasil hantaran David Bentley daripada sepakan percuma juga mengumpan buat Leon McKenzie untuk sepakan volley gol kedua.

     Craig Fleming dan Jason Shackell cemerlang pada benteng pertahanan Canaries untuk menggagalkan setiap serangan United. Paling hampir adalah percubaan Rooney dalam masa kecederaan yang diselamatkan oleh Robert Green.


1. Burnley vs Manchester United 1-0, 19 Ogos 2009, Turf Moor.

     Burnley menandakan kepulangan ke liga tertinggi England di Turf Moor selepas 33 tahun dengan kemenangan hebat ke atas penyandang juara Manchester United.

     Rembatan kencang separuh volley Robbie Blake melengkapkan malam penuh emosi apabila Burnley dengan hantaran sempurna dan semangat sepasukan mengalahkan pasukan Sir Alex Ferguson.

     Penjaga gol Burnley Brian Jensen juga muncul hero tuan rumah apabila menyelamatkan sepakan penalti Michael Carrick sebelum separuh masa dan kekal kukuh mempertahankan gawang daripada asakan bertubi-tubi United.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...