Tuesday, May 15, 2012

Ruud van Nistelrooy bersara daripada bolasepak.


     Bekas penyerang Manchester United Ruud van Nistelrooy telah mengumumkan persaraan daripada bolasepak. Pada sidang media di Malaga, pemain 35 tahun itu menyatakan dirinya tidak lagi mampu untuk mengendalikan tekanan fizikal yang diperlukan sebagai pemain.

     Selepas menjaringkan 75 gol dalam 91 perlawanan dengan PSV Eindhoven, Ruud menyertai United dengan kos £19 juta dan menghabiskan lima tahun di Old Trafford. Beliau membuat 219 penampilan daripada jumlah 589 penampilan dalam dalam karier bolasepaknya bersama Manchester United, menjaringkan 150 gol buat United daripada jumlah keseluruhan 347. Sehingga kini beliau masih penjaring terbanyak United peringkat Eropah dengan 38 gol.

     Beliau meninggalkan United ke Real Madrid pada musim panas 2006 dengan perpindahan £10.3 juta selepas laporan mengatakan beliau berselisih faham dengan pengurus Alex Ferguson, sesuatu yang beliau kesali hingga kini.

     "Hubungan saya dengan para penyokong sangat istimewa dan sebab itulah cara saya meninggalkan kelab masih saya kesali kerana saya tidak sempat mengucapkan selamat jalan kepada mereka semua," kata beliau.

     "Itulah perkara yang saya kesalkan dan malu dengan apa yang berlaku, terutamanya kepada para penyokong. Saya lihat beberapa orang di kelab sebelum saya pergi namun tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada mereka (penyokong)."

     Di Real Madrid beliau menjaringkan 64 gol dalam 96 perlawanan dan memenangi dua gelaran liga. Beliau kemudian menghabiskan dua musim di Hamburger SV sebelum menyertai Málaga pada permulaan musim lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...