Monday, June 25, 2012

Shinji Kagawa mahu buktikan kemampuan sendiri di Manchester United.

     Pemain baru Manchester United Shinji Kagawa yang ditandatangani dari Borussia Dortmund mendedahkan kepada wartawan bahawa beliau mahu buktikan kemampuan sendiri dan mencipta nama di Old Trafford tanpa dibayangi pemain-pemain hebat sebelum ini.

     Kagawa 23 tahun dikaitkan dengan beberapa kelab-kelab besar sekitar Eropah selepas mempamerkan aksi membanggakan bersama juara Bundesliga Dortmund yang mengekalkan kejuaraan buat musim kedua berturut-turut. Namun Sir Alex Ferguson bertindak pantas untuk mendapatkan pemain midfield Jepun itu.

     Beliau tidak sabar untuk beraksi dengan United dan menegaskan mahu mencipta legasi sendiri di Old Trafford selepas menolak pelawaan untuk menyarung jersi tersohor nombor 7 yang sebelum ini dipakai pemain-pemain hebat seperti George Best, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

     "Saya baru saja menyertai pasukan dan belum melengkapkan segala-galanya lagi," Kagawa berkata kepada pemberita di lapangan terbang Narita Tokyo sejurus tiba dari England. "Saya mahu mencipta nama sendiri (di United) dengan cara sendiri."

     Kagawa menerangkan lebih lanjut bahawa beliau meminta nombor jersi yang memberi makna tersendiri, dan membawa kepada spekulasi di kalangan media Jepun bahawa beliau kemungkinan memakai jersi nombor 8, 26, atau 29 yang pernah dipakainya di Cerezo Osaka, atau nombor 23 yang dipakainya di Dortmund.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...