Sunday, April 29, 2012

Top 5 - Perlawanan Manchester Derby paling penting dalam sejarah.

     Perebutan takhta liga semakin menuju klimaks, perlawanan Manchester derby Isnin ini dianggap Sir Alex Ferguson sebagai yang terbesar dalam tempoh 25 tahun beliau bersama Manchester United.

     Tuan rumah City perlu menang perlawanan ini untuk memintas kedudukan United berdasarkan kelebihan jaringan gol. Jika United menang maka mereka hanya perlu seri menentang Swansea di Old Trafford. Namun jika keputusan seri di Etihad Stadium pastinya lebih menarik dengan dua perlawanan musim masih tinggal.

     Lawan City seterusnya selepas derby ialah Newcastle United yang pastinya tidak mahu memberi laluan mudah kepada pasukan Roberto Mancini apatah lagi mereka berkedudukan baik untuk mendapat tempat keempat sekaligus melayakkan mereka ke Champions League. Kita imbas top 5 perlawanan Manchester derby terpenting sepanjang sejarah liga.

5. Manchester City vs Manchester United 1-1, Liga Divisyen Satu, 15 Mei 1963, Maine Road.

     Sungguhpun pada era ini Piala FA dianggap lebih utama berbanding kejuaraan liga namun tidak pada perlawanan ini. Kedua pasukan masing-masing bergelut untuk mengelak daripada tersingkir ke Divisyen Dua dan juga punyai nasib berbeza dalam Piala FA - City tewas kepada Norwich pada pusingan kelima dan United muncul juara.

     Setelah tewas dua kali berturut-turut dalam liga - 3-2 kepada Arsenal dan 2-1 dengan Birmingham - United perlu berkunjung ke Maine Road bagi meneruskan perjuangan untuk kekal dalam liga. Albert Quixall menjaringkan gol berharga United untuk mengikat kedudukan hingga tamat. City yang tewas 6-1 kepada West Ham United pada perlawanan terakhir musim tersingkir ke Divisyen Dua manakala United terselamat dengan satu mata daripada zon penyingkiran.


4. Manchester City vs Manchester United 1-0, Separuh Akhir Piala FA, 16 Apr 2011, Wembley.

     Selepas berjaya menyekat City daripada mengakhiri kemarau trofi utama musim lalu dalam separuh akhir Piala Liga, kedua pasukan sekali lagi bertemu dalam Piala FA. Wayne Rooney digantung perlawanan akibat mengeluarkan kata-kata kesat pada kemenangan di West Ham.

     Hasrat United tidak dibantu dengan kad merah dilayangkan pengadil Mike Dean kepada Paul Scholes. Yaya Toure muncul hero City menjaringkan gol tunggal perlawanan di Wembley. Beliau juga menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir menentang Stoke City sekaligus menamatkan penantian 35 tahun menjulang trofi utama. Banner '35 tahun' di Stretford End juga diturunkan di Old Trafford.


3. Manchester United vs Manchester City 3-1, Separuh Akhir Piala Liga, 27 Jan 2010, Old Trafford.

     Pada perlawanan pertama yang berkesudahan kemenangan City 2-1, Carlos Tevez muncul hero apabila menjaringkan dua gol. Ini dilihat memberikan kelebihan kepada pasukan Roberto Mancini menamatkan kemarau trofi kelab selama 34 tahun - kali terakhir City menjulang trofi utama ialah Piala Liga 1976.

     Perlawanan kedua di Old Trafford lebih menarik dengan gol Paul Scholes dan Michael Carrick memberikan kelebihan awal kepada tuan rumah sebelum Tevez sekali lagi menjadi duri dalam daging menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan agregat 3-3. Namun pada masa kecederaan Wayne Rooney menanduk masuk gol kemenangan dan memastikan City perlu menunggu setahun lagi untuk buruan trofi.

2. Manchester United vs Manchester City 1-3, Liga Divisyen Satu, 27 Mac 1968, Old Trafford.

     Perlawanan ini yang dilangsungkan di bawah lampu limpah pada 27 Mac 1968 kekal sebagai perlawanan penentuan kedua pasukan merebut kejuaraan liga. Tidak dapat dinafikan ada persamaan dengan perlawanan Isnin ini, tentang bagaimana keputusan perlawanan 3-1 memihak kepada City membolehkan mereka menyamakan mata dengan United yang juga juara bertahan musim sebelumnya.

     City juga berjaya menyamakan kedudukan dengan pendahulu Leeds United beberapa perlawanan selepas itu. Kejayaan City amat membanggakan apabila muncul juara liga pada penghujung musim - hanya kembali ke Divisyen Satu pada 1965/66 dan menamatkan musim berikutnya di kedudukan pertengahan liga. Jelas aksi bintang mereka yang meningkat naik seperti Colin Bell, Francis Lee dan Mike Summerbee menjadi faktor kebangkitan City.

* Persamaan musim ini dengan musim 1967/68


1. Manchester United vs Manchester City 0-1, Liga Divisyen Satu, 27 Apr 1974, Old Trafford.

     Hakikat bahawa gol 'back-heel ' bekas lagenda United Denis Law pada 24 April 1974 merupakan punca United tersingkir ke Divisyen Dua sukar dipadam hingga kini. Ia diibaratkan 'seorang anak menamatkan mesin sokongan hidup bapanya yang sakit tenat' oleh seorang pemerhati bolasepak pada masa itu.

      Namun ramai tidak menyedari bahawa sebagaimana United yang bergelut di zon penyingkiran, City yang berkedudukan 14 liga menjelang perlawanan ini masih memiliki satu mata dalam zon selamat walaupun mereka tewas perlawanan ini. Keputusan lain-lain perlawanan tidak memihak kepada United dan mereka tersingkir ke Divisyen Dua.

*Cerita di sebalik back-heel Denis Law

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...